MALAYSIA
MERCY Malaysia aktifkan bantuan kepada mangsa gempa bumi Afghanistan

Dr Ahmad Faizal menekankan kepentingan untuk bersama-sama memastikan tindak balas segera dan daya tahan jangka panjang diterima mangsa bencana tersebut. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia mengaktifkan Pasukan Penilaian Pantas bagi membantu mangsa gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda timur Afghanistan pada Ahad lepas.
Organisasi kemanusiaan itu dalam kenyataan hari ini, memaklumkan menyelaras tindak balas menerusi fasiliti kesihatan yang turut dikendalikannya di negara itu termasuk Pusat Kesihatan Komuniti Hisar Shahi di Nangarhar dan Hospital Bersalin Malalai di Kabul.
"Persediaan juga dilakukan untuk penempatan pasukan perubatan kecemasan bagi menyediakan penjagaan rawatan trauma, kit perubatan asas dan sokongan psikososial," menurut kenyataan itu.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dalam kenyataan sama menekankan kepentingan untuk bersama-sama memastikan tindak balas segera dan daya tahan jangka panjang diterima mangsa bencana tersebut."Bencana melanda komuniti yang sudah terdedah. Selain keperluan perubatan dan kemanusiaan yang mendesak, gempa bumi ini mengingatkan kita bahawa kesiapsiagaan dan daya tahan bukan pilihan, tetapi keperluan.
"Masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera untuk menyalurkan bantuan hari ini sambil melabur dalam sistem yang mampu melindungi nyawa dan mata pencarian pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata organisasi itu bukan hanya komited memberi tindak balas kecemasan tetapi juga menyokong pemulihan dan daya tahan menerusi pendekatan Humanitarian Development Nexus dengan kerjasama komuniti tempatan.
Justeru, MERCY Malaysia menyeru orang awam, pihak swasta dan rakan kongsi antarabangsa untuk menyokong usaha bantuan itu, bagi membolehkan penghantaran bantuan termasuk kit perubatan kecemasan, tempat tinggal, makanan, air bersih, sokongan kesihatan metal dan psikososial serta inisiatif pengurangan risiko bencana.
Setakat ini, lebih 800 maut manakala 2,000 cedera dalam bencana itu yang menyebabkan kerosakan teruk di wilayah Nangarhar, Kunar dan Laghman, selain turut mencetuskan tanah runtuh sekali gus memutuskan hubungan dan menyukarkan usaha menyelamat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami