Mercy Malaysia pada Rabu melancarkan Tabung Pandemik COVID-19 untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan yang mengalami tekanan yang teruk berikutan penularan wabak itu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam.

Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu, Amran Mahzan berkata dana tersebut juga akan membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan keperluan asas golongan terpinggir.

"Kami telah mengukuhkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan, makan makanan yang sudah dimasak dan penggunaan penutup hidung dan mulut yang betul di klinik bergerak kami untuk pelarian dan pendatang sejak bulan lalu.

"Masyarakat terpinggir ini tidak boleh diketepikan daripada rancangan pembendungan pandemik kerana ia berpotensi menjadi kawasan hotspot bagi virus itu merebak dengan pantas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata untuk menyokong inisiatif Mercy Malaysia, sumbangan boleh dibuat melalui www.mercy.org.my atau terus kepada MERCY Humanitarian Fund (5621 7950 4126) atau MERCY Malaysia (CIMB 8000-7929-08). Semua derma dikecualikan cukai.

Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas. Setakat hari ini Malaysia merekodkan 790 kes positif COVID-19 dengan kematian pertama dicatatkan semalam melibatkan dua warga tempatan.

-- BERNAMA