Skip to main content

Malaysia

Merdeka ekonomi: 5 perkara Malaysia perlu bina untuk kekal berdaya tahan

AWANI
Ketahanan ekonomi turut memerlukan bantuan lebih bersasar kepada golongan rentan serta perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, isi rumah, firma dan pasaran.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hampir tujuh dekad selepas Merdeka, Malaysia sudah melalui pelbagai episod yang menguji ketahanan ekonominya daripada kejatuhan harga komoditi pada 1980-an, Krisis Kewangan Asia 1997-1998, perubahan landskap teknologi sehinggalah ketidaktentuan geopolitik hari ini.

Namun, kemerdekaan ekonomi pada era ini bukan bermaksud Malaysia perlu berdiri sendiri atau memutuskan hubungan dengan dunia.

Sebaliknya, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, ia terletak pada keupayaan negara menentukan hala tuju sendiri, menyesuaikan ekonomi dengan perubahan serta memastikan dasar yang dilaksanakan akhirnya dapat dirasai rakyat.

Berikut lima perkara yang menurut beliau penting dalam membina sebuah ekonomi yang lebih berdaya tahan:

1. Merdeka ekonomi bermula dengan keberanian menentukan arah sendiri

Bagi Afzanizam, antara ukuran penting kemerdekaan ekonomi ialah keupayaan sesebuah negara menentukan hala tuju dasarnya ketika berdepan tekanan atau kejutan dari luar.

Beliau mengambil pengalaman Krisis Kewangan Asia 1997-1998 sebagai contoh bagaimana Malaysia memilih pendekatan sendiri untuk keluar daripada krisis ketika itu.

Namun, prinsip yang sama menjadi semakin penting hari ini apabila landskap ekonomi dunia berubah daripada era keterbukaan dan liberalisasi kepada dasar yang semakin bersifat perlindungan serta berpaksikan kepentingan negara masing-masing.

“Kalau tak merdeka, maksudnya kita akan terpengaruh dengan faktor luaran. Kalau dia kata A, kita ikut A. B, kita ikut B, macam tak ada pendirian.

“Di situ kemerdekaan ekonomi yang sebenar-benarnya adalah satu bentuk jati diri yang dapat dizahirkan dari segi kepimpinan, dasar yang dilaksanakan dan juga bagaimana rakyat merasai dasar yang dilaksanakan itu,” katanya.

2. Merdeka bukan bermaksud Malaysia tidak perlukan dunia

Pendirian ekonomi yang jelas tidak bermakna Malaysia perlu menutup pintu kepada dunia.

Sebagai sebuah ekonomi terbuka, perdagangan dan hubungan dengan pasaran antarabangsa kekal penting.

Malah, Afzanizam melihat globalisasi sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Cabaran sebenar ialah memastikan Malaysia tidak terlalu selesa dengan satu kepakaran ketika struktur ekonomi dan teknologi dunia berubah dengan pantas.

“Dalam dunia sekarang ini, ia memerlukan kita lebih bersifat kompleks, lebih versatil dan sentiasa terbuka dalam setiap bentuk perubahan.

“Globalisasi saya rasa tidak dapat dielakkan, perlu diraikan dalam keadaan yang adil... maksudnya kita terus berdagang,” katanya.

Keupayaan melakukan anjakan juga semakin penting.

Industri minyak dan gas misalnya perlu bersedia menghadapi perubahan permintaan tenaga, termasuk meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui.

Prinsip sama terpakai kepada tenaga kerja, apabila pendidikan menjadi asas kepada pembinaan ilmu, manakala kemahiran yang pelbagai membolehkan mereka menyesuaikan diri merentas bidang seiring perubahan ekonomi.

3. Jangan letak terlalu banyak telur dalam satu bakul

Kemajuan pesat sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI) menawarkan peluang besar kepada Malaysia.

Namun, kekuatan dalam satu industri sahaja turut membawa risiko kebergantungan yang tinggi.

Tambah beliau, Malaysia perlu melihat risiko penumpuan ekonomi dan pada masa sama membangunkan lebih banyak sumber pertumbuhan.

Antara sektor yang mempunyai potensi ialah agromakanan, khususnya apabila digabungkan dengan penggunaan teknologi.

Daripada hanya menghasilkan makanan di peringkat huluan, penggunaan teknologi dalam pemprosesan, pengeluaran dan aktiviti hiliran boleh mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi serta nilai tambah.

Pendekatan itu juga berpotensi membuka ruang pertumbuhan baharu di kawasan yang masih mempunyai kapasiti besar untuk dibangunkan.

Dalam erti kata lain, teknologi tidak seharusnya berkembang sebagai sebuah industri yang terasing, ia perlu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor lain.

4. Krisis berlaku di luar negara, kesannya sampai ke dapur rakyat

Perang, ketegangan geopolitik dan lonjakan harga tenaga mungkin bermula ribuan kilometer dari Malaysia, tetapi kesannya akhirnya boleh muncul dalam bentuk kos sara hidup yang lebih tinggi.

Ujarnya, dalam jangka pendek kerajaan mempunyai beberapa instrumen untuk mengurangkan tekanan tersebut termasuk subsidi, kawalan harga dan bayaran pindahan.

Namun, kemampuan fiskal kerajaan mempunyai had.

Ini bermakna bantuan tidak boleh diberikan kepada semua pihak secara berterusan tanpa mengambil kira tahap kemampuan mereka.

“Subsidi nampak gayanya tidak boleh semua dapat subsidi. Kita tahu pendapatan negara kita ada yang berpendapatan rendah, menengah dan tinggi.

“Pada satu ketika nanti perlu dibuat satu keputusan supaya mungkin golongan berpendapatan tinggi, dari segi subsidinya boleh dikurangkan atau dihapuskan supaya lebih banyak penjimatan boleh disalurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sekiranya konflik berpanjangan dan harga bahan api kekal tinggi, campur tangan kerajaan mungkin masih diperlukan dalam tempoh peralihan.

Namun, keutamaannya perlu jelas bagi melindungi golongan paling rentan.

5. Kerajaan bukan satu-satunya kaki yang menegakkan ekonomi

Satu lagi perubahan penting ialah cara masyarakat melihat peranan kerajaan.

Katanya Kerajaan, bukan semata-mata penyedia bantuan.

Peranan lebih besar adalah sebagai pemudah cara, termasuk merapatkan jurang dalam akses kepada latihan, modal dan peluang ketika ekonomi atau teknologi berubah.

Namun, tanggungjawab membina ekonomi tidak boleh diletakkan pada kerajaan sahaja.

Beliau menganggap ekonomi seperti sebuah bangku yang disokong beberapa kaki kerajaan, isi rumah, firma dan pasaran. Setiap satunya perlu memainkan peranan supaya keseluruhan sistem kekal stabil.

“Kerajaan ada peranannya, isi rumah ada peranannya, firma ada peranannya, pasaran ada peranannya,” katanya.

Atas sebab itu, libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh menjadi semakin penting supaya masyarakat memahami batas campur tangan kerajaan serta tanggungjawab masing-masing.

Merdeka ekonomi bukan tentang bergerak sendirian

Selepas hampir tujuh dekad, cabaran Malaysia sudah jauh berubah daripada era awal kemerdekaan.

Hari ini, ancamannya boleh datang daripada perang perdagangan, perubahan teknologi, geopolitik, harga tenaga atau transformasi industri yang berlaku dalam tempoh sangat singkat.

Justeru, kemerdekaan ekonomi tidak semestinya bermaksud mengurangkan hubungan dengan dunia.

Sebaliknya, ia bermaksud Malaysia cukup terbuka untuk mengambil peluang daripada dunia, cukup fleksibel untuk berubah apabila keadaan menuntutnya dan cukup yakin untuk menentukan hala tuju sendiri.

Kerana dalam dunia yang saling bergantung, merdeka bukan bermaksud tidak memerlukan sesiapa tetapi mempunyai pilihan apabila dunia berubah.

Dalam dunia yang semakin saling bergantung, kemerdekaan ekonomi bukan bermaksud bergerak sendirian, sebaliknya mempunyai keupayaan dan pilihan untuk menentukan hala tuju apabila landskap global berubah.

Must Watch Video

Advertisement