MALAYSIA
Mesyuarat khas berjaya, Thai-Kemboja setuju gencatan senjata serta-merta

(dari kiri) PM Kemboja Hun Manet, PM Malaysia Anwar dan PM Thailand, Phumtham berjabat tangan dalam sesi bergambar selepas sidang media bersama yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin. - Foto Mohd Rasfan/Pool via REUTERS
PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam ini bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Mesyuarat khas tersebut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Menurut Anwar, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan diplomatik yang konstruktif, dan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan serta keselamatan.“Satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan antara komander wilayah tentera – Wilayah Tentera dari pihak Thailand, serta Wilayah Tentera dari pihak Kemboja – pada jam 7 pagi, 29 Julai 2025, iaitu pada pagi esok.
“Mesyuarat ini akan disusuli dengan pertemuan bersama Atase Pertahanan yang akan diketuai oleh Pengerusi ASEAN, sekiranya dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama Phumtham dan Hun pada Isnin.
Hadir sama semasa mesyuarat khas ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Edgard D. Kagan, yang bertindak sebagai fasilitator bersama.
Anwar menambah, kedua-dua negara juga akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 4 Ogos 2025, yang akan dihoskan oleh Kemboja.
Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menambah Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemerhati untuk mengesahkan dan memastikan pelaksanaan persefahaman itu.
“Malaysia juga akan berunding dengan negara-negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemantauan ini, sebagai lambang komitmen serantau terhadap keamanan di lapangan.
“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menyambung semula komunikasi langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, dan Menteri Pertahanan masing-masing,” kata Anwar.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Dalam masa sama, Anwar berkata Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja serta Thailand telah diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata ini.
Mekanisme tersebut, ujar beliau akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan akauntabiliti.
“Mesyuarat ini turut mengukuhkan tekad bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, kehidupan bersama secara aman, dan kerjasama pelbagai hala dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap situasi semasa,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami