MENLO PARK: Platform media sosial Instagram secara rasmi memperkenalkan wordmark atau logo teks baharu pada 13 Ogos, menandakan perubahan pertama terhadap elemen penjenamaan itu dalam tempoh sedekad, lapor Amanz.
Syarikat induknya, Meta, berkata perubahan tersebut bertujuan memberikan penampilan yang lebih moden dan segar, selain membezakan reka bentuk itu daripada tulisan berangkai yang digunakan sebelum ini.
Ketua Instagram, Adam Mosseri, berkata wordmark di bahagian atas aplikasi itu tidak berubah selama 10 tahun, justeru sudah tiba masanya untuk ia diberikan wajah baharu yang lebih bersih dan moden.
Menerusi reka bentuk baharu itu, Instagram memperkenalkan muka taip yang menggabungkan elemen cetak dan tulisan tangan, dengan mengekalkan lengkungan estetik pada huruf "s", "g" dan "r".
Bagaimanapun, identiti baharu itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan komuniti dalam talian, dengan segelintir pengguna mengkritik perubahan berkenaan.
Sebahagian pengguna dan pemerhati industri berpendapat bentuk huruf "r" yang baharu menyebabkan ia kelihatan seolah-olah huruf "z", sekali gus menjadikan perkataan "Instagram" dibaca sebagai "Instagzam".
Perubahan itu merupakan sebahagian daripada usaha penjenamaan semula Instagram untuk mengekalkan kerelevanan visualnya dalam pasaran digital global yang semakin kompetitif.
Meta turut memperkenalkan tiga fon baharu iaitu Instagram Sans, Instagram Pen dan Instagram Mono.
Instagram sebelum ini melakukan rombakan besar terhadap ikon aplikasinya pada 2016 apabila memperkenalkan ikon berwarna gradien yang digunakan sehingga kini.
Perubahan itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna, namun ikon aplikasi berkenaan kekal tidak berubah dalam kemas kini kali ini.