Skip to main content

Bisnes

Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus pada suku kedua 2026

PRESTASI EKONOMI SIDANG MEDIA
Abdul Rasheed berkata pertumbuhan suku kedua disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, termasuk perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 didorong oleh permintaan dalam negara yang berterusan serta prestasi eksport yang menggalakkan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata walaupun prospek pertumbuhan terus dipengaruhi perkembangan luaran, ekonomi Malaysia kekal di landasan yang kukuh, disokong asas ekonomi yang kukuh serta kesediaan dasar.

“Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh. Pertumbuhan pada tahun 2026 diunjurkan kekal dalam julat unjuran 4 hingga 5 peratus dengan perkembangan terkini mengisyaratkan pertumbuhan keseluruhan berpotensi mencecah sekitar 5 peratus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Siti Asiah Ahmad.

Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan suku kedua disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, termasuk perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan.

Dari sudut permintaan, penggunaan swasta berkembang 5.9 peratus, disokong keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan yang stabil serta sokongan dasar yang berterusan.

Pelaburan swasta pula berkembang 7.3 peratus, manakala pelaburan awam meningkat 9.2 peratus, masing-masing disokong perbelanjaan berterusan dalam struktur serta jentera dan kelengkapan, serta peningkatan perbelanjaan aset tetap oleh kerajaan dan syarikat awam.

Penggunaan awam turut berkembang 2.6 peratus, didorong peningkatan bekalan dan perkhidmatan serta perbelanjaan emolumen.

Sementara itu, Siti Asiah berkata eksport bersih melonjak 168.5 peratus, didorong permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) susulan pengembangan teknologi global, selain kesan asas.

Beliau menjelaskan prospek pertumbuhan domestik akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan isi rumah serta pelaksanaan langkah dasar yang berterusan.

“Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan serta pelaksanaan langkah-langkah dasar yang berterusan.

“Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan yang diluluskan yang kekal tinggi serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional,” ujarnya.

Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong terutama oleh pengembangan sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Sektor perkhidmatan berkembang 5.9 peratus, didorong pertumbuhan lebih tinggi dalam perkhidmatan berkaitan perniagaan, khususnya subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kewangan dan insurans.

Sektor pembuatan pula berkembang kukuh sebanyak 7.7 peratus, didorong kelompok industri berorientasikan eksport, khususnya E&E berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Dari segi sektor luaran, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh permintaan yang kekal kukuh terhadap produk E&E sejajar dengan peningkatan pelaburan dalam aktiviti berkaitan AI dan pengembangan teknologi global,” katanya.

Sektor perlombongan turut mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 9.2 peratus, didorong peningkatan pengeluaran gas asli selepas pemulihan daripada aktiviti penyelenggaraan sebelum ini.

Sektor pembinaan berkembang sederhana sebanyak 6.5 peratus, disokong terutamanya aktiviti perdagangan khusus dan bukan kediaman yang berterusan.

Bagaimanapun, sektor pertanian menguncup 3.7 peratus, berikutan pengeluaran kelapa sawit kembali normal selepas mencatat hasil yang tinggi pada 2025.

Must Watch Video

Advertisement