KUALA LUMPUR: Ong Kian Ming (PH - Bangi) merayu semua ahli Parlimen menolak semangat kepartian dan bekerjasama membantu menyelesaikan masalah COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.

Dakwanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen tapi dalam keadaan genting sekarang, sebaiknya semua pihak bersatu.

Tambahnya, usaha untuk menyatukan kedua-dua pihak mungkin sukar kerana ada yang rasa dikhianati namun dalam keadaan krisis yang teruk sekarang, itu adalah pilihan terbaik.

"Pagoh tak ada lagi majoriti di dewan ini. Ia mungkin tidak dibuktikan lagi tapi saya rasa semua orang tahu termasuk di sebelah sana (kerajaan). Saya juga tahu sekarang ada ramai orang kecewa dengan Pagoh akibat daripada kepemimpinan krisis yang tidak baik.

"Saya juga yakin kalau Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada peluang jadi Perdana Menteri, beliau boleh jalankan tugas dengan lebih tegas, lebih baik berbanding Pagoh buat. Saya rasa ada di sebelah sana pun mungkin boleh jalankan tugas lebih baik daripada Pagoh.

LAPOR LANGSUNG SIDANG KHAS PARLIMEN DI SINI

"Tetapi saya rasa kita semua tidak ada sebarang seorang pun ahli berhormat di sini, yang ada majoriti sokongan di dalam dewan mulia ini," katanya. 

Tegasnya, semua Ahli Parlimen perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai jalan keluar untuk COVID-19 dan selepas semuanya selesai, mereka kemudian boleh berentap dalam pilihan raya.

IKUTI SISI TV PARLIMEN ASTRO AWANI DI SINI



Begitupun, kenyataan beliau berkaitan sokongan kepada Perdana Menteri dibidas Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas - Sik).

“Saya nak betulkan sedikit apa yang disebut YB Bangi tadi. YB pagoh masih mempunyai  majoriti cukup untuk kita teruskan kerajaan PN. kita buktikan, kita telah buktikan,” katanya.

Teh Kok Lim (PH - Taiping), Chang Lih Kang (PH - Tanjung Malim) dan Cha Kee Chin (Rasah - PH) kemudian meminta izin untuk mencelah namun Ahmad Tarmizi tidak mengizinkan.


RSN Rayer (PH - Jelutong) kemudian bangun dan mencabar Ahmad Tarmizi untuk melakukan undian berhubung perkara tersebut.

“Mana-mana ahli yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina majlis. Memang Yang Berhormat Pagoh tiada majoriti. Kalau betul kita undi. Saya cabar kita undi atas perkara ini. Kenyataan Sik adalah kenyataan mengelirukan dewan.

“Berani atau tidak Sik kita buat undi perkara ini. Saya cabar,” tegasnya.