KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu berangkat tiba bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang dijadual pada jam 10 pagi ini di Istana Negara.

Mesyuarat berkenaan yang bersidang secara rasmi selama dua hari, bermula Selasa dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar paling awal berangkat tiba di Istana Negara apabila kenderaan membawa keberangkatan Baginda dilihar tiba pada jam 9.53 pagi.

Keberangkatan Baginda kemudian disusuli keberangkatan Sultan dan Raja-Raja Melayu lain, antaranya, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Selain itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkar tiba pada jam 10.04 pagi disusuli keberangkatan tiba Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut dilihat berangkat tiba di Istana Negara pada Selasa.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat tiba pada jam 10.21 pagi sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga merupakan Raja-Raja Melayu dan Sultan terakhir berangkat tiba.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Difahamkan, mesyuarat tersebut akan berlangsung selama dua jam selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lalu yang dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sebelum mempengerusikan Mesyuarat, Tuanku Muhriz berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Tuanku Muhriz kemudian menanam pokok Buah Ajaib di pekarangan Istana Negara sebagai simbolik Yang Dipertuan Negeri Sembilan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman pokok itu.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok merupakan cetusan idea Al-Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok pertama kali dilangsungkan pada mesyuarat kali ke-255.