Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor, namun tidak ada kepastian sama ada akan ada satu keputusan yang akan diserahkan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid, yang cuba disingkirkan dari jawatan Menteri Besar Selangor oleh PKR, sepatutnya menghadap Lembaga Disiplin parti itu petang semalam.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu meminta supaya sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR itu ditangguhkan hingga 15 Ogos ini.

Dalam satu surat yang diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Abdul Khalid turut berkata beliau tidak dapat menghadirkan dirinya ke sesi pendengaran tersebut kerana terikat dengan tanggungjawabnya sebagar Menteri Besar Selangor pada masa pendengaran tersebut.

Abdul Khalid diminta memberi penjelasan mengenai lima perkara menjadi iaitu penstrukturan air Selangor, elaun baharu Menteri Besar, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan, pinjaman dengan Bank Islam, serta cadangan pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).

Namun, Menteri Besar Selangor itu menjelaskan Lembaga Disiplin PKR tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar salah laku disiplin berkenaan hal pentadbiran kerajaan negeri.

Bagi memastikan pimpinan PAS dan DAP lebih memahami alasan kenapa Abdul Khalid perlu meletak jawatan, PKR memutuskan untuk menyerahkan laporan mengenai salah laku Menteri Besar Selangor itu.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada Isnin.

Bagaimanapun, Abdul Khalid pada hari yang sama berkata, PKR sepatutnya melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau.

Abdul Khalid juga mengingatkan Saifuddin dan pemimpin PKR yang lain, bahawa beliau boleh mengambil tindakan undang-undang atas apa yang disifatkan sebagai fitnah itu.

Pada 5 Ogos lalu, Lembaga Disiplin PKR menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid dan meminta beliau menjawab surat tersebut kerana mengingkari keputusan Mesyuarat Khas MPP yang memintanya meleatk jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Sehari selepas itu, PKR menyerahkan laporan setebal 24 halaman kepada pimpinan Pakatan Rakyat terutama PAS yang menyenaraikan sebab-sebab kenapa Abdul Khalid perlu melepaskan jawatannya.

Antara alasan yang diberikan ialah isu penyelesaian hutang antara Abdul Khalid dan Bank Islam yang disifatkan sebagai 'luar biasa' oleh PKR.

Pada petang hari yang sama, Pejabat Menteri Besar Selangor meminta SPRM menyiasat Abdul Khalid mengenai sebarang tuduhan salah laku pentadbiran oleh PKR ke atasnya.

Beberapa jam sebelum laporan SPRM itu dibuat, di ibu pejabat PKR, berlangsung satu sidang media Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor.

Timbul kekecohan ketika sidang media itu apabila dua kenyataan diberikan kepada wartawan, satu kenyataan menyokong penuh pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar yang baharu manakala satu lagi meminta supaya nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut dicadangkan.

Difahamkan kenyataan media yang meminta supaya nama Azmin turut disenaraikan merupakan keputusan rasmi mesyuarat MPN Selangor pada malam sebelumnya.

Manakala Majlis Syura Ulamak PAS yang bermesyuarat pada petang Rabu memutuskan menyokong Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Pada Khamis, Jawatankuasa PAS Pusat yang sepatutnya mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos ini mengambil keputusan untuk menangguhkannya ke 13 Ogos.

Bagaimanapun PAS sekali lagi menangguhkan mesyuarat ke 17 Ogos atas alasan ramai anggotanya tidak dapat hadir pada tarikh 13 Ogos.