Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru pengundi Melaka menyokong wakil rakyat yang boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat rakyat.
- Anwar menegaskan usaha membendung ketirisan kewangan negara penting agar dana dapat disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan dan pembangunan.
- Beliau menekankan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak, termasuk ahli parti sendiri, yang melanggar undang-undang berdasarkan bukti.
MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pengundi Melaka memberikan sokongan yang kuat kepada Kerajaan Persekutuan menerusi pemilihan wakil rakyat yang dapat bekerjasama dengan pentadbiran pusat.
Perdana Menteri berkata kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan penting bagi membolehkan pelbagai peruntukan serta dasar diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada rakyat Melaka.
“Saya mahu kalau tidak semua negeri, mesti ada suara kita yang kuat. Dapat negeri, alhamdulillah. Tapi mesti ada suara yang kuat mewakili Melaka ini.
“Mesti Melaka mesej yang baik. Kita ada Kerajaan Persekutuan macam ini (yang stabil), kita nak negeri macam ini, jadi kita boleh bantu angkat nasib rakyat Melaka,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Perdana Melaka Rumah Kita di Paya Rumput, di sini, malam ini.
Anwar berkata kerajaan pimpinannya ketika ini sedang giat berusaha membaiki pelbagai kelemahan terdahulu termasuk berkaitan kebocoran dan ketirisan kewangan negara.
Menteri Kewangan itu menjelaskan, usaha membendung ketirisan penting kerana wang yang diselamatkan boleh disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan.
Beliau turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk melibatkan partinya sendiri.
“Kalau ada mana-mana menteri termasuk menteri Keadilan pun, ada bukti dia curi, mesti kena. Bukan tuduh… dia kena siasat, kena ada bukti,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyeru rakyat Melaka supaya menilai calon dan parti berdasarkan kemampuan membawa kemajuan, bukannya terpengaruh dengan sentimen perkauman atau tuduhan tanpa asas.
Pada PRN Melaka ke-16, PH bertanding di 24 kerusi daripada keseluruhan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian.