Skip to main content

Malaysia

Meta akui kesilapan teknikal jejas sebahagian akaun WhatsApp

Meta memaklumkan kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp telah diperbaiki dan akaun pengguna sah yang terjejas mula dipulihkan secara proaktif.
Meta memaklumkan kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp telah diperbaiki dan akaun pengguna sah yang terjejas mula dipulihkan secara proaktif.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Meta mengesahkan berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp yang menyebabkan akaun pengguna sah digantung secara tidak sengaja.
  • Masalah tersebut telah diselesaikan pada akhir September dan akaun terjejas dipulihkan secara proaktif tanpa perubahan pada dasar penguatkuasaan WhatsApp.
  • MCMC meminta Meta memperbaiki proses rayuan dan pemulihan akaun serta akan terus memantau penyelesaian kes tertunggak.

KUALA LUMPUR: Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp yang menyebabkan sebahagian aktiviti pengguna sah disalah tafsir sebagai pelanggaran peraturan sehingga membawa kepada penggantungan akaun.

Perkara itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan isu penggantungan akaun WhatsApp yang dibangkitkan sebelum ini.

Menurut MCMC, Meta mengesahkan lebih separuh daripada kes dalam kumpulan pertama yang dikemukakan didapati berpunca daripada kesilapan teknikal berkenaan.

Meta memaklumkan masalah tersebut telah ditangani pada penghujung September lalu dan akaun yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang tidak mengemukakan rayuan.

Menurut syarikat itu, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.

Bagi kes lain, Meta menjelaskan penggantungan akaun turut berpunca daripada beberapa faktor termasuk penggunaan nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan oleh sistem keselamatan platform berkenaan.

Meta turut menjelaskan laporan pengguna hanyalah satu daripada faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya sebab tindakan penggantungan akaun dilaksanakan.

Bagi akaun perniagaan pula, penghantaran mesej tanpa persetujuan penerima atau secara pukal kepada individu yang bukan dalam senarai kenalan boleh dikenal pasti sebagai aktiviti spam.

Sehubungan itu, pengguna perniagaan dinasihatkan mendapatkan kebenaran penerima sebelum menghantar mesej secara pukal.

Dalam pada itu, MCMC meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna menerima maklumat yang lebih jelas serta tindakan yang lebih pantas.

MCMC berkata pihaknya akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan kawal selia sekiranya langkah yang diambil Meta didapati tidak memadai.

 

 

Must Watch Video

Advertisement