KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang kini berada dalam kalangan terbaik di Asia Tenggara, harus meneroka peluang untuk mempelbagaikan produknya dengan membuat ramalan lebih spesifik.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata selain itu, MetMalaysia perlu memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah setanding dengan negara maju seperti Australia dan New Zealand.

"Penglibatan MetMalaysia di peringkat antarabangsa perlu diperbanyakkan lagi agar mendapat pengiktirafan di peringkat dunia," katanya ketika ditanya mengenai harapan terhadap MetMalaysia dalam wawancara secara dalam talian dengan Bernama hari ini sempena persaraan beliau.

Jailan, anak kelahiran Batu Pahat, Johor dan berkelulusan Master of Science in Soil and Atmospheric Science dari Universiti Columbia, Missouri, Amerika Syarikat akan bersara wajib pada 1 Ogos selepas berkhidmat selama 37 tahun di jabatan itu.

Beliau menyertai MetMalaysia, yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia, pada 11 Feb 1985 sebagai ahli kajicuaca dan menjawat pelbagai jawatan di beberapa bahagian sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 4 Mei 2019.

Diminta berkongsi pandangan mengenai meteorologi di Malaysia, Jailan berkata sehingga kini tiada universiti tempatan yang menyediakan kursus dalam bidang ini yang menyukarkan pegawai muda dan baharu menimba ilmu di dalam negara.

Justeru, beliau berkata MetMalaysia perlu menghantar lebih ramai kakitangan ke luar negara bagi menambah bilangan pakar dalam meteorologi dan klimatologi memandangkan tidak ramai pakar di dalam negara ketika ini kecuali dalam kalangan kakitangan jabatan itu.

Katanya pegawai meteorologi muda perlu menerapkan nilai sentiasa mencari dan menimba ilmu baharu supaya dapat meningkatkan kemahiran dari semasa ke semasa.

Ditanya mengenai kenangan manis sepanjang berkhidmat di MetMalaysia, bapa kepada tiga anak itu menyifatkan perkenalan dengan isteri, Zaiton Mat Amin, yang pernah berkhidmat di jabatan sama, sebagai detik paling indah.

Mengulas perancangan selepas bersara, Jailan berkata beliau akan menghabiskan masa melakukan aktiviti pertanian bandar bersama keluarga.

-- BERNAMA