Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan berlepas ke Kiev, Ukraine hujung minggu ini untuk mendapatkan persetujuan pihak-pihak tertentu bagi membenarkan pasukan penyiasat Malaysia kembali melaksanakan tugas di lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

Hishammuddin berkata fokus lawatan kerja beliau ke sana adalah untuk memastikan rundingannya memberi jaminan laluan selamat kepada pasukan penyiasat ke lokasi nahas itu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah meminta saya ke Kiev untuk mendapatkan persetujuan pihak-pihak tertentu mengenai perkara ini.

"Kami nak pasukan penyiasat untuk meneruskan tugas mereka yang belum selesai khususnya dalam mencari mayat-mayat mangsa tragedi MH17 yang masih belum ditemui," katanya kepada pemberita selepas majlis penghantaran Malbatt 850-2 ke Lubnan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini hari ini.

Selain Hishammuddin, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin akan turut serta menyertai lawatan kerja itu.

Hishammuddin berkata, beliau berharap kerajaan Ukraine dan puak pemisah dapat memenuhi permintaan kerajaan Malaysia atas dasar kemanusiaan.

"Walaupun keadaan timur Ukraine lebih-lebih lagi di kawasan nahas ketika ini sangat tegang kerana peperangan masih berlaku, namun keadaan ini tidak sekalipun melemahkan semangat kerajaan Malaysia dan ikrar Perdana Menteri kita untuk kembalikan pasukan penyiasat ke kawasan nahas dan membawa balik kesemua mayat mangsa warga Malaysia kembali ke tanah air," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata sejurus selesainya lawatan di Ukraine, beliau akan ke Rusia dan Belanda bagi menyelaras dan membincangkan mengenai proses pencarian dan penyiasatan berhubung MH17.

Katanya, kerajaan Malaysia tidak akan berdiam begitu sahaja sehingga pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu dibawa ke muka pengadilan.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine.