Pesawat Boeing 7777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine Khamis lalu tidak pernah tersasar daripada laluan penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sebaliknya tegas Tiong Lai, pihak yang menembak roket ke arah pesawat itu merupakan kumpulan yang melanggar undang-undang.

"MH17 tidak pernah tersasar daripada laluan. Ia mengikut arahan menara kawalan trafik dan sebelum ini ruang udara tersebut adalah dibenarkan mengikut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

"Sebaliknya mereka yang menembak di daratan itulah melanggar undang-undang perang," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.

Pesawat Boeing 777 MAS penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas.

Penerbangan MH17 itu berlepas dari Amsterdam pada 12:15 tengah hari Khamis dan dijangka tiba di KLIA pada 6:10 petang Jumaat, waktu Malaysia.

Bagaimanapun, ketika berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia, pesawat itu terhempas akibat terkena tembakan roket.

Rusia dan Ukraine masih menafikan tanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Tiong Lai berkata, fokus utama Malaysia adalah operasi pencarian mangsa dan juga nekad mencari pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

"Paling utama ialah untuk kita mengetahui kebenaran, mencari pihak manakah yang bertanggungjawab, kita tuntut keadilan dan ia mesti ditegakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berita media antarabangsa yang menyatakan pesawat itu tersasar 45km daripada kawasan dibenarkan,

Katanya, MH17 berada dalam kedudukan jarak 100km kilometer jauhnya dari kawasan larangan.

"Laluan tersebut jaraknya jauh, kawasan yang diberi amaran adalah selatan dan kita di utara jadi tidak ada salah," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa kawalan trafik udara tempatan yang meminta MH17 terbang pada ketinggian paras 10,060m (33,000 kaki).

"Pada mulanya MH17 terbang pada ketinggian 35,000 kaki (10,668m) namun kawalan trafik udara tempatan meminta ‎untuk ditukarkan kepada 33,000 ekoran daripada memberi laluan trafik lain," katanya.

Katanya, laluan MH17 juga merupakan laluan udara utama bagi pesawat dan ia selari dengan apa yang ditetapkan oleh pihak penerbangan antarabangsa.

"Ia merupakan laluan paling sibuk bagi penerbangan di udara, ia digariskan oleh pihak penerbangan antarabangsa dan diluluskan oleh Eurocontrol malah ratusan pesawat lain turut menggunakan laluan sama," katanya.