Sidang parlimen tergempar bagi membahaskan usul mengenai insiden pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine akan diadakan pada Rabu, 23 Julai ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang turut memberitahu beliau menerima surat pemakluman memanggil sidang khas berkenaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

"Perkara ini selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengeluarkan surat pemberitahuan panggilan mesyuarat kepada semua Ahli Dewan mulai hari ini (Jumaat) juga," katanya menerusi kenyataan media pada tengah malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung di RTM1, mengumumkan perkara berkenaan bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap tragedi malang itu.

Najib berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menembak jatuh pesawat awam yang disifatkan sebagai tidak bertamadun, bersifat ganas dan tidak bertanggungjawab.

Pesawat Boeing 777 MAS penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas.

Kedudukan terakhir pesawat Boeing 777 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12:15 tengah hari Khamis dan dijangka tiba di KLIA pada 6:10 petang Jumaat, waktu Malaysia.