Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata penglibatan pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing hanya sebagai penasihat dalam pasukan
penyiasat antarabangsa mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Beliau berkata Boeing bukan anggota pasukan penyiasat, dan hanya sebagai penasihat kepada wakil-wakil bertauliah dari Amerika Syarikat dan wakil daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS kerana wakil-wakil dari negara itu memerlukan banyak input dan maklumat daripada pengeluar.

"Kerana itu Boeing, sama seperti Rolls-Royce yang mewakili pembuat enjin adalah sebahagian daripada wakil-wakil bertauliah pasukan penyiasat itu," Azharuddin memberitahu para wartawan dalam sidang media mengenai pesawat MAS yang hilang itu, di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media mengapa Boeing berada dalam pasukan penyiasat itu, sementara MAS dan DCA bukan sebahagian daripadanya.

Pasukan penyiasat itu ditubuhkan selepas Kerajaan Malaysia pada 23 April mempertimbangkan dan meluluskan pelantikan satu pasukan penyiasat antarabangsa untuk menyiasat kehilangan pesawat itu dan Kementerian Pengangkutan telah ditugaskan untuk merangka bidang tugas bagi pasukan itu.

Mengulas jarak 17 minit antara perhubungan terakhir MH370 dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) dan panggilan dari Pusat Kawalan Trafik Udara Ho Chi Minh (HCMATCC), Azharuddin berkata itu terpulang kepada pasukan penyiasat untuk menyiasat dan membuat keputusan kenapa HCMATCC mengambil masa 17 minit untuk membuat pertanyaan kepada KLATCC.

Berdasarkan laporan awal MH370 oleh Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan semalam, perhubungan terakhir antara MH370 dan KLATCC dibuat pada 01:21:04 waktu Malaysia semasa ia melepasi waypoint IGARI.

Pada 01:21:13, label radar untuk MH370 hilang dari skrin radar KLATCC dan pada 01:38, HCMATCC bertanya kepada KLATCC mengenai kedudukan MH370.

Ditanya sama ada rakaman audio yang dikeluarkan bersama laporan awal itu telah diedit, Azharuddin berkata kesemua rakaman audio itu adalah asli dan tiada versi yang disunting.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.