Sukar untuk mengesahkan punca sebenar kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 buat masa kini, jelas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pihak polis telah menyiasat kesemua kebarangkalian di sebalik misteri kehilangan pesawat itu, namun punca sebenar tidak boleh dirungkai selagi ia tidak ditemui.

“Masalah dia sekarang kita tidak jumpa rangka kapal terbang tersebut. Kita tidak jumpa tidak dapat menemui manusia yang terlibat, yang menjadi penumpang dalam kapal terbang tersebut. Itu masalahnya

“Kita menyiasat dari seluruh sudut terrorismnya, dari segi hijacking pihak tertentu, penggunaan teknologi canggih untuk nak hijack kapal terbang itu dan macam macam teori. So banyak fakta yang telah terkumpul. Katalah ia (MH370) ditemui nanti, mungkin kita akan buka balik (kertas siasatan,” katanya lagi.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbott yang mendakwa diberitahu pegawai tinggi Kerajaan Malaysia bahawa insiden itu adalah pembunuhan diri.


Abbott, dalam satu temubual eksklusif dalam dokumentari Sky News, mendakwa beliau dimaklumkan pegawai berkenaan, Kerajaan Malaysia merasakan perkara itu dirancang juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah, sehingga mengakibatkan kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang.

MENGENANG MH370

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, terpulang kepada Abbott untuk membuat kenyataan demikian kerana beliau bercakap berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh sewaktu menjadi Perdana Menteri Australia dahulu.