Ringkasan AI
- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli menegaskan keberanian mahasiswa mempersoalkan rasuah dan kepincangan kepimpinan tidak harus dianggap ancaman.
- Beliau menekankan prinsip kebebasan bersuara perlu dipertahankan tanpa mengira siapa yang berkuasa atau menjadi sasaran kritikan.
- Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan akan terus mempertahankan kebebasan mahasiswa bersuara dalam lingkungan tanggungjawab kementerian.
KUALA LUMPUR: Keberanian mahasiswa mempersoalkan rasuah, salah guna kuasa dan kepincangan kepimpinan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman, sebaliknya menjadi ukuran sejauh mana pemimpin benar-benar bersedia menerima teguran dalam sebuah negara demokrasi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menegaskan, prinsip kebebasan bersuara tidak boleh berubah mengikut siapa yang memegang kuasa atau pihak yang menjadi sasaran kritikan.
Menurutnya, pandangan kritikal mahasiswa, termasuk terhadap pemimpin kerajaan hari ini, tidak sepatutnya diterjemahkan sebagai kesalahan sehingga mengundang tindakan terhadap mereka.
“Kritikan, hatta terhadap pemimpin dalam kerajaan hari ini, tidak seharusnya diterjemahkan sebagai suatu kesalahan atau alasan untuk mengenakan tindakan terhadap mahasiswa,” katanya menerusi hantaran di Threads hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kontroversi membabitkan mahasiswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang menjadi perhatian selepas lantang mempersoalkan budaya rasuah dan kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Adam Adli menyifatkan pandangan yang dikemukakan mahasiswi itu sebagai 'fair comment' atau kritikan yang wajar, khususnya apabila menyentuh budaya rasuah, salah guna kuasa dan kecenderungan mempertahankan kepincangan dalam kepimpinan.
“Kritikan terhadap budaya rasuah, salah guna kuasa dan sikap mempertahankan kebobrokan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mengancam.
“Sebaliknya, ia wajar menjadi peringatan penting kepada mereka yang diberikan amanah untuk memimpin,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa institusi pengajian tinggi mesti kekal sebagai medan percambahan idea, perbahasan intelektual dan kebebasan berbeza pandangan, bukannya tempat melahirkan mahasiswa yang sekadar akur tanpa mempersoalkan sesuatu keputusan.
Dalam masa sama, Adam Adli memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mempertahankan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpendapat dalam lingkungan tanggungjawab serta bidang kuasa kementerian.
“Prinsip kebebasan bersuara tidak sepatutnya berubah mengikut siapa yang sedang berkuasa, atau siapa yang sedang menerima kritikan,” katanya sambil mengingatkan supaya isu berkenaan tidak diheret menjadi polemik politik kepartian.
Terdahulu, Ummi Umairah mencuri perhatian apabila mempersoalkan tindakan orang ramai menyumbang kepada kutipan dana bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta ketika sesi dialog bertajuk Menuju Negara Masa Hadapan: Kepimpinan, Inovasi dan Transformasi, sempena Sidang Kemuncak iFUTURE 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dalam forum yang turut menampilkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mahasiswi itu turut mempersoalkan bagaimana generasi pemimpin masa depan dapat dibentuk supaya berani menentang rasuah, budaya feudal dan salah guna kuasa berasaskan fakta serta data.
Khairy ketika menjawab persoalan berkenaan menegaskan bahawa kesalahan tidak wajar dipertahankan atas dasar kesetiaan politik, manakala Onn Hafiz menyifatkan rasuah sebagai penyakit yang menghalang kemajuan negara.
Kontroversi itu turut mencetuskan perdebatan di media sosial, termasuk dakwaan wujud desakan supaya tindakan diambil terhadap mahasiswi terbabit, namun dakwaan berkenaan belum disahkan secara rasmi oleh pihak universiti.
Mengakhiri kenyataannya, Adam Adli menegaskan bahawa keberanian mahasiswa untuk bersuara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh pemimpin, sebaliknya budaya membungkam persoalan dan menolak kritikan merupakan ancaman lebih besar kepada tradisi keilmuan.
“Yang lebih membimbangkan ialah apabila kampus kehilangan keberanian untuk bertanya, dan pemimpin pula kehilangan kesediaan untuk mendengar,” katanya.