Semua pihak digesa memandang ke hadapan berhubung operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, bukan berpatah balik dan cuba menyalahkan sesiapa, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata menuduh Malaysia bersalah berhubung kehilangan pesawat itu adalah tidak berasas dan oleh kerana kejadian itu belum pernah berlaku, maka tiada duluan untuk dijadikan tanda aras dalam usaha mencarinya.

Hishammuddin menyatakan demikian apabila ditanya tentang urutan masa Malaysia berkongsi maklumat ketenteraannya yang sensitif dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan kehilangan pesawat itu pada 8 Mac.

"Anda melihat terlalu jauh ke belakang, sedangkan ketika ini kami berusaha untuk mengecilkan fasa operasi pencarian. Malangnya, kita masih membuat spekulasi tentang perkara yang tidak bersifat memandang ke hadapan.

"Apa yang ingin saya lakukan mengenai penubuhan jawatankuaaa peringkat kementerian dan panel penyiasat antarabangsa yang akan dibentang kepada Kabinet beberapa hari lagi adalah untuk menangani semua isu itu.

"Tapi, apa yang penting sekarang adalah memandang ke hadapan dan kami bergerak ke fasa seterusnya dalam usaha mencari.

"Adalah tidak wajar bagi anda hendak menyalahkan Malaysia. Apakah yang akan anda lakukan apabila menghadapi sesuatu yang dunia tidak pernah menghadapinya sebelum ini.

"Apakah tanda aras yang hendak anda jadikan ukuran?" kata menteri itu kepada pemberita pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, Selasa.

Hishammuddin berkata maklumat akan diberi apabila pesawat berkenaan atau kotak hitam dijumpai.

Ditanya tentang perlunya Peguam Negara Tan Sri Gani Patail ke United Kingdom untuk membincangkan tentang hak milik terhadap kotak hitam dan sama ada terdapat komplikasi dari segi undang-undang mengenainya, Hishammuddin berkata:

"Kabinet mengarahkan Gani meneliti perkara itu memandangkan 26 negara terlibat dalam misi mencari pesawat berkenaan.

"Jadi, terdapat cabaran daripada segi diplomatik dan undang-undang, ada waris dan sebab itulah kami menubuhkan tiga jawatankuasa berkenaan (melibatkan tiga kementerian) agar tanggungjawab mengenainya boleh diagihkan sesama mereka yang berpeluang mendapat nasihat pakar paling baik," katanya.

Hishammuddin menegaskan sekali lagi bahawa keutamaan beliau adalah mencari kebenaran dan beliau secara peribadi berpendapat siapa yang akan menjadi pemilik kotak hitam berkenaan adalah tidak penting.

"Ia untuk mengetahui perkara sebenar dan mendedahkan apa yang terkandung dalam kotak hitam itu," katanya.

Mengenai laporan tentang kehadiran seorang peguam Amerika di rumah keluarga penumpang pesawat MH370, Hishammuddin berkata ia sesuatu yang membimbangkan dan beliau menasihati keluarga terbabit supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan agar ia dapat ditangani dengan sewajarnya.

Hishammuddin berkata satu pasukan penyiasat akan ditubuhkan, dianggotai tiga jawatankuasa kementerian (Pengangkutan, Pertahanan dan Luar Negeri) yang diketuai tiga timbalan menteri masing-masing, manakala memorandum mengenainya akan dikemukakan kepada Kabinet, mungkin minggu depan.

"Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin akan meneliti pelbagai isu berkaitan waris penumpang Penerbangan MH370, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi akan meneliti terma rujukan pasukan antarabangsa dan perkara teknikal dalam penyiasatan, manakala Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri akan menyelia dan memantau penghantaran aset mencari bagi mengesan pesawat berkenaan," katanya.

Pada 5 April, Hishammuddin mengumumkan penubuhan sebuah pasukan penyiasat antarabangsa dan tiga jawatankuasa peringkat kementerian untuk menyiasat dan menyelaras usaha mencari pesawat MH370.

Terdapat juga satu kumpulan berkaitan keselamatan penerbangan yang akan mengkaji rekod penyenggaraan, struktur dan sistem; kumpulan operasi yang akan membuat pemeriksaan terhadap alat perakam penerbangan dan meteorologi; dan kumpulan perubatan serta faktor kemanusiaan yang akan meneliti faktor psikologi, patologi dan kelangsungan hidup.