Pasukan utama teknikal misi mencari dan menyelamat (SAR) kini dipecahkan kepada tiga kumpulan membabitkan diplomatik aset dan logistik serta teknikal, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata pasukan itu dipecahkan kepada tiga kumpulan kerana kawasan liputan operasi SAR semakin luas.

Katanya, kumpulan diplomatik diketuai Kementerian Luar manakala Angkatan Tentera Malaysia mengetuai aset dan logistik sementara Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengetuai pasukan teknikal.

"Dari segi diplomatik, semua 26 buah negara terbabit dalam misi SAR pada dasarnya bersetuju untuk membantu operasi, dan Malaysia telah menghantar nota diplomatik meminta bantuan tersebut.

"Beberapa aset yang telah bersedia menunggu kebenaran diplomatik untuk memulakan operasinya. Sebaik saja kita dapat kebenaran, kita akan menghantar aset-aset tersebut," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, pada Rabu.

Hishammuddin berkata Malaysia masih menyelaras semua operasi itu dan negara-negara terlibat mengetuainya di kawasan mereka dan di kawasan pencarian yang telah dipersetujui.

Sebanyak 26 buah negara telibat dalam operasi SAR di kawasan darat dan laut melibatkan dua koridor iaitu koridor utara dan koridor selatan.

Koridor utara merentas kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand, sementara koridor selatan merintangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Misi mencari pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal masuk hari ke-12 sejak hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Liputan lanjut sidang media hari ke 12 di sini.