JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor telah menggerakkan pasukan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengawal dan membendung aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negeri susulan jerebu yang melanda ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan aktiviti seumpama itu tidak menjejaskan kesihatan awam.
"Buat masa ini, tidak ada berlaku apa-apa (kes pembakaran terbuka). Oleh itu, kita mementingkan kawalan dan juga pendidikan supaya orang ramai tidak melakukan tindakan pembakaran terbuka," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai, khususnya golongan yang berisiko tinggi dan mempunyai masalah sistem pernafasan supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada, termasuk memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah.
Dalam perkembangan lain, Ling berkata kerajaan negeri memperluas inisiatif Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) yang kini merangkumi ubat-ubatan yang memerlukan kawalan suhu.
Bagaimanapun, katanya, inisiatif berkenaan yang baru diperkenalkan, setakat ini dilaksanakan di daerah Johor Bahru, bagi memberikan ruang kepada pihak Pos Malaysia menguji sistem penghantaran perkhidmatan itu.
Beliau berkata inisiatif UMP menunjukkan peningkatan penghantaran daripada 9,000 unit sebulan pada 2024 kepada 29,000 unit sebulan, ketika ini.
UMP diperkenalkan kerajaan negeri pada 1 Ogos 2024 dan ditawarkan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor, dengan kos penghantaran ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
-- BERNAMA