MELAKA: Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) bernilai RM682 juta yang merupakan salah satu komponen utama di bawah projek Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini, dijangka siap tahun 2026.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi projek terminal kapal persiar itu, Melaka dijangka menerima pertambahan sebanyak 15.8 juta pelancong, termasuk 10 juta pelancong asing dengan perbelanjaan sebanyak RM9 bilion, menjelang 2036.

Beliau berkata, MICT berupaya menampung kapasiti lebih tujuh juta pelancong setahun, dengan jumlah 1,500 kapal pesiar setahun.

"Projek terminal berkenaan dilihat dapat mengubah industri pelancongan Melaka daripada ekonomi hujung minggu kepada ekonomi 365 hari.

"Terminal tersebut juga dijangka menjadi sebuah jeti pesiar terbesar di Asia Tenggara, sekali gus menjadikan Melaka sebagai katalis sektor pelancongan selain menjadi hab perhentian kapal pesiar dari Singapura ke Phuket, Thailand," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pengurusan dan Operasi Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka, antara Melaka International Cruise Terminal Sdn Bhd (MICTSB) dan Global Ports Holding PLC (GPH).

Majlis menandatangani Perjanjian kerjasama itu diwakili Pengerusi Eksekutif KAJ Development Sdn Bhd (KAJD), Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman bagi pihak MICTSB, manakala GPH diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Stephen Xuereb.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, jeti pesiar berkenaan mampu menampung dua kapal kelas oasis di dermaga luar, satu kapal kelas kuantum dan satu kapal pesiaran voyage of the sea di dermaga dalaman pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, beliau yakin GPH yang merupakan syarikat pengendali pelabuhan pesiar terbesar di dunia dapat mengurus, mempromosi dan mengendalikan terminal berkenaan secara lebih efisien dan sistematik.

Ab Rauf berkata, antara pelabuhan yang dikendalikan oleh GPH ialah di Caribbean, Mediterranean, rantau Asia Pasifik termasuk pelabuhan komersial di Montenegro.

"Kerajaan negeri juga akan memberi kerjasama yang baik kepada GPH bagi memastikan pembinaan projek terminal kapal persiar itu, dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan dan selesai menjelang 2026," katanya. - BERNAMA