PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu teksi terlepas hukuman gantung selepas pertuduhan mengedar 1029.2 gram kanabis yang disabitkan ke atasnya, dipinda kepada memiliki dadah.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azmi Ariffin, mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas M. Baskaran atas kesalahan mengedar dadah dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun.

Keputusan itu selepas Baskaran, 52, mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dadah.

Hakim Hadhariah berkata Baskaran juga tidak dikenakan hukuman sebat kerana beliau berusia lebih 50 tahun dan mengarahkan hukuman penjara itu bermula 15 Ogos 2018, iaitu tarikh lelaki itu ditangkap.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersetuju untuk meminda pertuduhan kepada memiliki dadah.

Baskaran didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos 2021 kerana mengedar dadah di tempat letak kereta di Taipanco, di kawasan perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 petang, 15 Ogos 2018.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Baskaran, memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun, kerana beliau telah bertaubat atas apa yang dilakukan dan bagi membolehkannya untuk memulakan hidup baharu bersama keluarganya.

Fauziah pula meminta mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara antara 10 ke 12 tahun.

-- BERNAMA