Skip to main content

Malaysia

Mindef perinci cadangan laluan khas veteran TLDM sertai Maritim Malaysia

61740370600_TBAdlyZahari.jpg
Adly berkata langkah itu mampu memberikan penjimatan signifikan kepada negara memandangkan veteran ATM sudah memiliki disiplin dan kemahiran tinggi yang tidak lagi memerlukan latihan asas panjang. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang memperincikan cadangan mewujudkan laluan khas bagi penempatan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke agensi penguatkuasaan maritim bagi memanfaatkan kepakaran sedia ada, sekali gus menjimatkan kos latihan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata langkah itu mampu memberikan penjimatan signifikan kepada negara memandangkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah memiliki disiplin dan kemahiran tinggi yang tidak lagi memerlukan latihan asas panjang.

Advertisement

“Biasanya, pengambilan penguat kuasa baharu memerlukan masa hingga enam bulan latihan yang melibatkan kos dan kepakaran tinggi. Jika kita mengambil veteran, kita boleh menjimatkan tempoh itu dan mereka boleh terus menyumbang kepada negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai usaha kementerian memperluas kerjaya kedua veteran TLDM dalam industri maritim serta sektor penguatkuasaan.

Menjawab soalan asal Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai isu pengiktirafan kepakaran teknikal veteran, Adly berkata Mindef melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) giat melaksanakan program pensijilan termasuk Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Beliau berkata inisiatif itu bagi memastikan pengalaman berkhidmat selama 21 tahun anggota lain-lain pangkat (LLP) dapat diterjemahkan kepada sijil akademik seperti diploma atau ijazah bagi meningkatkan nilai pasaran mereka.

“Kita sedar cabaran utama veteran adalah pengiktirafan akademik. Melalui APEL dan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), kita pastikan kepakaran mereka diiktiraf secara rasmi supaya mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerja kedua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak melakukan sebarang penjualan ekuiti dalam syarikat perladangan kelapa sawit bagi tempoh 2024 hingga kini.

“Sebaliknya, selaras dengan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 atau MAMPAN25, kementerian melalui LTAT terus komited memperkukuhkan nilai portfolio pelaburan bagi memastikan pulangan mampan kepada pencarum,” katanya.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang ingin tahu status terkini pegangan saham LTAT dalam syarikat perladangan kelapa sawit di dalam dan luar negara serta jumlah nilai ekuiti yang dijual bagi tempoh 2024 hingga 2025.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found