KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bersama MBDA France bagi perolehan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) sempena Farnborough International Airshow 2026 di United Kingdom, Isnin lepas.
MINDEF menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, dokumen berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali bersama syarikat pertahanan Perancis itu untuk melengkapkan keupayaan persenjataan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Perolehan ini juga merupakan kontrak pelengkap penting bagi projek LCS untuk memastikan kapal berkenaan memiliki keupayaan pertahanan udara yang memenuhi keperluan operasi TLDM.
“Pemeteraian SST ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan strategik pertahanan maritim negara bagi mendepani cabaran geopolitik semasa,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan status kemajuan fizikal projek LCS mencatatkan pencapaian 78.1 peratus sehingga 31 Mei lepas.
-- BERNAMA