IPOH: Kerajaan Perak memberi jaminan bahawa projek rintis perlombongan mineral baharu yang ditemui di kawasan Hulu Perak akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) tanpa menjejaskan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ketika ini kerja-kerja berkenaan masih belum dimulakan kerana perlu melalui beberapa proses lain selepas memperoleh kelulusan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) baru-baru ini.

Jelas beliau antara proses yang perlu dilalui sebelum projek rintis berkenaan dapat dijalankan adalah termasuk pelan pengurusan alam sekitar (EMP) dan penilaian impak sosial (SIA), bagi mendapatkan kebenaran merancang.

"Kita faham ada beberapa pandangan tetapi kerajaan negeri ada tanggungjawab untuk menggunakan anugerah Allah ini sebaik mungkin. Tentulah Allah berikan kepada kita hasil bumi ini untuk kita gunakan.

"Tetapi ia tidak bermakna kita boleh salah guna sehingga merosakkan kehidupan alam. Sebab itu, kita mesti mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan dipersetujui, di mana kita boleh mengambil hasil itu dan dalam masa yang sama kita juga menjaga alam sekitar," katanya.

Tambahnya lagi kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk mensejahterakan negeri dan rakyat dengan memperbanyakkan sumber pendapatan negeri.

Selain itu, Saarani memberitahu projek rintis berkenaan akan membabitkan kawasan tanah  berkeluasan 86.4 hektar.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada sambutan Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia negeri Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini pada Rabu.

Pada Isnin, Saarani mengesahkan Perak telah menemukan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak.

Beliau berkata penemuan tersebut diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai dan mampu menjadi sumber pendapatan baharu untuk negeri.