YouTube Malaysia bakal menganjurkan Minggu YouTube Malaysia buat pertama kalinya bermula 5 Disember ini.

Sambutan ini diadakan sempena meraikan pelbagai jenama dan para pengguna yang telah menjadikan YouTube sebagai destinasi hiburan, informasi, dan pendidikan.

Minggu tersebut bakal menampilkan acara pameran bagi para pengiklan, bengkel untuk penjana kandungan, dan demonstrasi produk interaktif dengan unsur hiburan.

YouTube Malaysia juga menjemput pelbagai agensi untuk menyertai YouTube Malaysia Ads Awards 2016.

Anugerah yang turut diadakan julung-julung kalinya ini mempertandingkan 10 anugerah iklan terbaik dalam pelbagai bidang termasuklah kewangan, runcit, dan pelancongan.

Pendaftaran bagi anugerah tersebut boleh dilakukan di pautan ini: Borang Pendaftaran

“YouTube mengalu-alukan cara baru dalam kemampuan berhubung dengan penonton,” ujar Sajith Sivanandan, pengarah urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina, dan pasaran baru.

Dengan dua daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai telefon pintar, lebih ramai yang menonton kandungan YouTube walau di mana mereka berada. Menurut YouTube, 65 peratus rakyat Malaysia lebih gemar menonton menggunakan telefon pintar.