Skip to main content

Malaysia

MiRRDA perkasa pembangunan sosioekonomi di wilayah tengah Rajang - Aaron

Aaron Ago Dagang
Aaron yang juga Menteri Perpaduan Negara dan Ahli Parlimen Kanowit berkata, MiRRDA akan memberi keutamaan kepada projek yang memberikan manfaat sosioekonomi secara langsung kepada masyarakat setempat. - Gambar Facebook Aaron Ago Dagang
Advertisement

SIBU: Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) mempergiat inisiatif untuk meningkatkan pendapatan, peluang ekonomi dan mengurangkan kemiskinan di wilayah tengah Sarawak, kata Pengerusinya, Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron yang juga Menteri Perpaduan Negara dan Ahli Parlimen Kanowit berkata, MiRRDA akan memberi keutamaan kepada projek yang memberikan manfaat sosioekonomi secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Setiap projek yang dirancang mestilah memberi nilai tambah kepada masyarakat, mewujudkan peluang ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MiRRDA pada Jumaat.

Antara projek yang dibincangkan ialah cadangan pengubahsuaian dan menaik taraf Gereja St Francis Xavier di Kanowit, yang merangkumi peningkatan kapasiti sehingga tiga kali ganda, penambahbaikan landskap dan seni bina serta penyediaan ruang parkir tambahan.

Aaron berkata, MiRRDA turut akan memperkukuh Program Penskalaan Usahawan dengan memberi tumpuan kepada pengurusan perniagaan, kemahiran digital, pembangunan produk dan pengembangan perniagaan.

Pembangunan modal insan dalam sektor pertanian dan penternakan juga akan dipertingkatkan dengan memberi tumpuan kepada pekebun kecil kelapa sawit dan pengusaha kopi liberica, selain menyediakan latihan dalam pengurusan dan penternakan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement