KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa misi penghantaran bantuan kemanusiaan ketiga Ops Ihsan ke Gaza, Palestin dijangka dilakukan pada 17 Dis ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, bantuan kemanusiaan itu akan membawa 60 tan barangan keperluan asas dengan kebanyakannya adalah barangan perubatan.

"Jadi saya ingin menjemput kepada mana-mana Ahli Yang Berhormat (Ahli Dewan Negara) ada kelapangan pada 17 Dis ini untuk sama-sama kita lancarkan dan melepaskan penerbangan ketiga bantuan kemanusiaan ini yang akan kita buat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang bertanyakan langkah dan usaha Kementerian Luar untuk melaksanakan Hab Kemanusiaan Rakyat Malaysia (MHH) di sempadan Rafah, Mesir bagi melancarkan bantuan kemanusiaan dan sukarelawan Gaza.

Mohamad berkata, Malaysia berjaya membuat penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan yang tiba di Gaza pada 10 Nov lepas manakala penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan tiba di Mesir pada 11 Nov.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia sekali lagi akan menyertai dan menyampaikan kenyataan negara pada Perdebatan Terbuka Peringkat Tertinggi berkaitan Situasi di Timur Tengah termasuk Persoalan Mengenai Palestin di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Nov ini.

"Perkara ini jelas membuktikan Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada hak rakyat Palestin di semua platform dan pertubuhan antarabangsa agar kekejaman rejim Zionis dapat dihentikandan rantau itu akan mencapai kedamaian berterusan," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu mengenai pendekatan lebih agresif oleh Malaysia dalam sebarang pertubuhan antarabangsa bagi menghentikan kemaraan rejim Zionis melalui serangan darat terhadap rakyat Gaza. - BERNAMA