Misi Kemanusiaan GSF 2.0 dijangka dilancar pertengahan tahun ini - Sani Araby

Sani Araby berucap pada Majlis Perbincangan Meja Bulat Global Sumud Flotilla 2.0 bertema “Melanggar kepung: Serta bertindak” di Wisma MAPIM hari ini. - Gambar Bernama
BANGI: Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) bersama gerakan Sumud Nusantara kini dalam perancangan untuk melancarkan misi kemanusiaan buat kali kedua pada pertengahan tahun ini, iaitu pada musim bunga.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) dan Sumud Nusantara merancang misi kemanusiaan kedua pada pertengahan tahun ini sebagai respons terhadap tindakan Israel yang menghalang bantuan ke Gaza.
- Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, menekankan perlunya tekanan antarabangsa untuk menghentikan konflik di Gaza yang semakin meruncing.
- Misi kemanusiaan kali ini akan menitikberatkan usaha membangkitkan kesedaran global dan mendesak kerajaan dunia untuk bertindak serta mengecam tindakan 'kebinatangan' rejim Zionis.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata demikian selepas diskusi Sidang Meja Bulat GSF 2.0: Breaking The Siege di Wisma MAPIM hari ini.
Diskusi Sidang Meja Bulat itu disertai tiga ahli Jawatankuasa Pemandu GSF, iaitu Thiago Avila, Kleoniki Alexopoulou dan Saif Abukesyek selaku panel manakala Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bertindak sebagai moderator.
Sani Araby bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh sebenar pelancaran misi kemanusiaan itu atas faktor keselamatan serta berharap penyertaan akan melebihi angka terdahulu, iaitu 45 negara.
Beliau berkata bagi misi kali ini pihaknya akan menekankan ke arah membangkitkan kesedaran rakyat seluruh dunia bagi menggerakkan usaha mendesak kerajaan masing-masing supaya dapat diterjemahkan dalam bentuk polisi diplomasi.
"Kali ini antara strategi terpenting adalah menggerakkan kumpulan daripada rakyat, badan bukan kerajaan, kerajaan dan pimpinan dunia untuk kita terjemahkan bahawa aksi ini bukan aksi suka-suka tetapi aksi kita menghina 'kebinatangan' yang dilakukan oleh rejim (Zionis)," katanya.
Sani Araby turut menjangkakan konflik berkenaan berkemungkinan memuncak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, termasuk sekitar musim bunga atau pertengahan tahun ini berdasarkan perkembangan semasa di lapangan.
Beliau berkata jangkaan itu selari dengan kebimbangan bahawa keadaan mungkin bertambah buruk sekiranya tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan bagi menghentikan keganasan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
Pada September tahun lepas, GSF membawa ratusan aktivis antarabangsa bersama bantuan kemanusiaan bagi menembusi sekatan laut Israel dan menyampaikan sokongan dan bantuan kepada penduduk Gaza.
Sebanyak 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza bagi menyalurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, pada 1 Okt, kira-kira 41 kapal dipintas oleh rejim Zionis sebelum para aktivis ditahan di Penjara Ketziot, Israel dan dihantar pulang ke negara masing-masing.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


