Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu, Zuraida Kamaruddin, hari ini menegaskan beliau akan menumpukan kepada beberapa langkah penyelarasan bagi mengelak sebarang kes pertindihan tugas dan pembaziran dalam kementeriannya.

Sebagai langkah pertama, beliau mahu projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diselaraskan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya, penyelarasan PR1MA yang ketika ini berada di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri, perlu dilakukan bagi mengurangkan pembaziran kos.

"Projek PR1MA ada kemungkinan untuk diselaraskan kerana projek ini tidaklah asing di bawah kementerian ini.

“Kami akan mengkaji semula pelan projek ini untuk memastikan tiada duplikasi dan tiada pembaziran yang berlaku dalam melangsungkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas pertemuan pertama dengan pegawai KPKT, di sini, hari ini.

Zuraida turut menegaskan keperluan mengkaji semula isu kelulusan pinjaman perumahan bagi mengenalpasti harga rumah mampu milik yang sesuai untuk pemilik rumah pertama.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang ini berkata, KPKT juga akan memberikan penekanan terhadap pembangunan balai bomba di seluruh negara.

“Saya akan mengkaji semula cadangan untuk menubuhkan 540 balai bomba di seluruh negara kerana ia merupakan keperluan buat rakyat Malaysia.

“Sekarang ini hanya kira-kira 290 balai bomba yang telah ditubuhkan dan lebih banyak balai bomba diperlukan demi keselamatan rakyat.

“Ada juga beberapa tempat yang lebih memerlukan perkhidmatan ini berbanding beberapa tempat lain sedia ada,” ujarnya.

Tambah Zuraida, antara isu lain yang turut akan diberi penekanan oleh KPKT ialah isu sisa pepejal, saluran paip dan pembuangan yang akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam satu mesyuarat pada Khamis.