MALAYSIA
CAP sokong cukai kekosongan untuk kawal spekulasi hartanah

Mohideen berkata langkah ini penting untuk membendung aktiviti spekulatif yang menyukarkan golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong pelaksanaan cukai kekosongan terhadap hartanah kediaman yang dibiarkan kosong melebihi enam bulan, bagi mengawal spekulasi dan meningkatkan kemampuan memiliki rumah.
Ringkasan AI
- CAP menyokong pelaksanaan cukai kekosongan hartanah kediaman yang terbiar lebih enam bulan bagi mengawal spekulasi dan meningkatkan akses rakyat kepada rumah mampu milik.
- CAP mencadangkan semakan terhadap RPGT, duti setem dan kawalan ketat ke atas pinjaman serta pembelian rumah kedua dan oleh pelabur asing, untuk mengekang pelaburan bersifat spekulatif.
- CAP menekankan perumahan sebagai hak asasi dan bukan komoditi pelaburan, serta menggesa reformasi dasar demi menjamin keadilan dalam pasaran hartanah.
"Banyak unit kediaman khususnya di bandar masih terbiar kosong, manakala rakyat bergelut mencari rumah mampu milik. Keadaan ini berpunca daripada sikap yang melihat perumahan sebagai pelaburan, bukan keperluan asas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Cukai kekosongan, katanya akan menggalakkan pemilik menyewakan atau menjual unit yang terbiar, sekali gus menambah bekalan rumah dalam pasaran aktif.
CAP juga menggesa kerajaan menyemak semula Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan duti setem, serta mencadangkan kadar lebih tinggi ke atas penjualan hartanah dalam tempoh pegangan singkat dan pembelian rumah kedua dan seterusnya.
Mohideen turut mencadangkan kawalan ketat ke atas pembelian rumah oleh pelabur asing dan pinjaman kepada individu yang memiliki lebih daripada satu rumah, termasuk menurunkan nisbah pinjaman kepada nilai (loan-to-value ratio) untuk mengawal pinjaman spekulatif.
Katanya, tanpa pembaharuan dasar menyeluruh, sektor perumahan akan terus memihak kepada pelabur dan menafikan hak rakyat biasa. CAP menekankan bahawa perumahan ialah hak asasi, bukan komoditi untuk spekulasi.
CAP juga menyeru penggubal dasar agar segera bertindak dengan memperkenalkan cukai kekosongan, memperkukuh RPGT, menyemak duti setem dan mengetatkan peraturan pinjaman bagi menjamin keadilan dan kebolehcapaian dalam pasaran hartanah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami