KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang dalam perbincangan lanjut dengan sebuah institusi China bagi perjanjian kerjasama penggalakan pelaburan asing dua hala.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia bertujuan mengukuhkan aliran pelaburan selain menggalakkan syarikat China meneroka peluang di Malaysia.

"Rundingan kerjasama akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengembangkan perusahaan ke China.

"Ia diharapkan dapat mendorong pelaburan dalam sektor bernilai tinggi bagi merealisasikan keutamaan strategik kedua-dua negara," kata Tengku Zafrul memberi jaminan akan terus mengukuhkan ikatan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi bersama.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri Johor sedang merancang menubuhkan kumpulan kerja khusus untuk mengkaji insentif fiskal dan bukan fiskal bagi memajukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).

"Rancangan ini sekali gus menyokong infrastruktur pembangunan di Zon Kewangan Khas Forest City, Johor Bahru dalam menyuntik pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman prestasi pelaburan Malaysia dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama 2023, di ibu kota, pada Khamis.

Ekonomi Malaysia telah melonjak melepasi sasaran selepas melihat pelaburan yang diluluskan mencapai RM329.5 bilion, peningkatan 23 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah yang merangkumi 5,101 projek ini akan menjana 127,332 pekerjaan baharu di Malaysia.

"Di peringkat serantau, Pulau Pinang muncul sebagai benefisiari utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM71.9 bilion, diikuti rapat oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM58.3 bilion), Selangor (RM55.3 bilion), Johor (RM43.1 bilion), dan Kedah (RM28.7 bilion).

"Kelima-lima negeri ini secara kolektif menarik RM257.3 bilion, mewakili 78.1 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan pada 2023," kata Tengku Zafrul.

Tambahnya, lima sumber utama pelaburan asing pula diterajui Singapura (RM43.7 bilion), Belanda (RM35.5 bilion), Amerika Syarikat (AS) (RM21.5 bilion), Kepulauan Cayman (RM17. 5 bilion) dan Republik Rakyat China (RRC) (RM14.5 bilion).

Menurutnya, peningkatan jumlah ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik di peringkat global.

"Ekonomi negara tidak hanya berkembang maju tetapi juga mempamerkan keberkesanan dasar pro-perniagaan dan berorientasikan pertumbuhan," kata Tengku Zafrul.