KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memulakan prosiding berhubung pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur bernilai RM329.33 juta.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata keputusan memulakan prosiding tersebut dibuat susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 1 di Dewan Rakyat, hari ini.

Difahamkan, antara saksi yang dijangka dipanggil ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

"Pagi ini PAC telah bersetuju untuk memulakan prosiding berhubung dengan pengurusan mitigasi banjir KL bernilai RM329.33 juta.

"Kita akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan, bagi tujuan tersebut. Manakala, bagi prosiding isu-isu lain yang dinyatakan dalam  LKAN 2021 Siri 1, akan dimaklumkan kemudian tertakluk kepada perbincangan lanjut oleh ahli-ahli PAC," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata LKAN 2021 Siri 1 yang dibentangkan hari ini turut melibatkan audit ke atas kementerian seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

Ujarnya, jumlah keseluruhan pengauditan tersebut bernilai RM10.749 bilion, iaitu RM5.381 bilion untuk lima projek, manakala RM5.368 bilion lagi membabitkan empat aktiviti.

"PAC dimaklumkan bahawa daripada segi aspek keberhasilan/objektif projek/program, satu projek tercapai sepenuhnya, empat tidak tercapai sepenuhnya, manakala empat tidak dapat diukur.

"Selain itu, satu program dikenal pasti berlaku pembaziran bernilai RM18,135; dua projek berlaku pembayaran tidak teratur (RM5.63 juta); dan dua projek berlaku kehilangan atau kerugian wang awam (RM2.8 juta)," katanya.

Beliau menambah, sejak dua tahun lalu, PAC sudah mengadakan prosiding untuk 16 isu yang dibangkitkan dalam LKAN, antaranya 11 laporan PAC yang sudah dibentangkan, manakala lima isu lagi masih di peringkat prosiding dan penyediaan laporan.