KUALA LUMPUR: Selepas 27 tahun tidak berkongsi pentas, empat anggota barisan DUNG ‘95 daripada kumpulan punk rock tempatan, Carburetor Dung bakal kembali beraksi menerusi konsert Revenge of the Rats 2026 pada 12 Disember depan.
Menerusi hantaran di Instagram, barisan DUNG ‘95 mengumumkan persembahan pertama mereka selepas 27 tahun dengan nada berseloroh, menggelarkan diri sebagai empat pemuzik punk warga emas yang masih bebas daripada penyakit gout.
“We the four punk warga emas (tanpa gout), DUNG ‘95, dgn ini dgn besar hati menjemput saudara, saudari, kakak, adik, kawan, teman rakan taulan jauh dan dekat semua hadir memeriahkan suasana show pertama kami selepas berpecah 27 tahun nan lalu.
“Kehadiran anda amat kami hargai. Jumpa disana,” menurut hantaran berkenaan.
Carburetor Dung bukanlah nama asing dalam persada muzik punk rock Malaysia, khususnya ketika perkembangan gerakan muzik alternatif dan budaya underground pada awal 1990-an.
Barisan DUNG ‘95 dianggotai Lee selaku vokalis, Joe Kidd (gitar), Fendi (bass) dan Ollie (dram), yang pernah membawa identiti tersendiri dalam perjalanan muzik kumpulan berkenaan.
Selain Carburetor Dung, konsert tersebut turut mengembalikan perhatian kepada Naked Butterfly, sebuah lagi kumpulan yang pernah mewarnai persada muzik alternatif tempatan menerusi album Dreamwalk pada 1995.
Turut melengkapkan barisan persembahan ialah Mutilation, kumpulan yang mempunyai akar dalam muzik death metal tempatan sejak awal 1990-an.
Sementara itu, Projekt AK yang turut mempunyai latar muzik hardcore dan rapcore tempatan dilihat sudah memulakan persiapan menjelang konsert berkenaan menerusi hantaran di media sosialnya.
Pertemuan kumpulan-kumpulan berkenaan turut membawa nilai nostalgia kepada peminat yang membesar dengan perkembangan muzik underground ketika era 1990-an.
Pada era sebelum kemunculan media sosial dan platform penstriman, muzik underground tempatan berkembang melalui persembahan berskala kecil, pengedaran kaset serta jaringan komuniti pemuzik dan peminat.
Budaya do-it-yourself (DIY) turut menjadi sebahagian daripada identiti gerakan berkenaan apabila pemuzik menerbitkan rakaman, menganjurkan persembahan dan membina kelompok pendengar secara bebas.
Justeru, konsert Revenge of the Rats 2026 bukan sekadar menghimpunkan nama-nama lama, malah membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali sebahagian daripada sejarah muzik alternatif Malaysia.
Konsert anjuran Livewire Event itu dijadualkan berlangsung pada 12 Disember depan, dengan tiket kategori berdiri bebas berharga RM150 boleh didapati menerusi MyTicket Empire.