Skip to main content
Advertisement

Malaysia

MKI zahir takziah kepada Tun Dr Mahathir atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

MKI TAKZIAH MAHATHIR
Sultan Nazrin (tengah) berkenan menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di Putrajaya, pada Selasa. Mengiringi baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga berikutan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, semalam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI bertitah, pemergian Dr Siti Hasmah merupakan satu kehilangan besar kepada negara memandangkan Allahyarham telah banyak berkorban serta memberikan khidmat dan sumbangan kepada nusa dan bangsa.

"Semalam negara diselubungi awan duka, kesedihan atas kembalinya ke rahmatullah Dr Siti Hasmah, seorang insan yang telah banyak berkorban dan berjaya memberikan khidmat dan sumbangan kepada nusa dan bangsa.

"Mesyuarat MKI kali ke-75 menyampaikan ucap takziah kepada Dr Mahathir serta ahli keluarga Allahyarham," titah baginda ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat MKI, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin turut mendoakan agar Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian Ilahi dengan penuh keredaan.

"Semoga roh Dr Siti Hasmah dilimpahi rahmat dan ihsan Ilahi serta ditempatkan dalam kalangan roh para solihah. Sama-sama kita membaca surah al-Fatihah, mohon apa jua ganjaran Ilahi daripada bacaan surah tersebut, disampaikan kepada roh Dr Siti Hasmah. Al-Fatihah," titah baginda.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara semalam, pada usia 100 tahun. Beliau meninggalkan tujuh orang anak.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement