KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti semua aspek melibatkan pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) seperti dirancang kerajaan terdahulu yang bermula pada tahun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengambil maklum isu MLFF seperti dilaporkan media yang mendakwa 32 syarikat konsesi tol lebuh raya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek berkenaan kepada sebuah syarikat swasta.

Alexander mengakui, kerajaan terdahulu telah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF.

"Walaubagaimanapun, kelulusan ini hanyalah untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF ini.

"Meskipun perancangan dan proses-proses kelulusan awal telah bermula sejak 2021, namun sebagai Menteri Kerja Raya pada masa kini, saya menyedari perlunya beberapa penelitian dan tindakan penambahbaikan dilakukan terutamanya yang melibatkan aspek perundangan bagi memastikan MLFF ini dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Pada Selasa, sebuah akhbar dalam talian berbahasa Inggeris, FMT melaporkan dengan memetik sumber, bahawa Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) membantah penganugerahan secara langsung projek MLFF kepada sebuah syarikat swasta untuk semua lebuh raya di negara ini.

Kata sumber itu, kerajaan menandatangani "perjanjian pelantikan" dengan syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd pada 17 Nov, memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan membayar bil projek tersebut.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pada masa ini, pihak konsesi lebuh raya masih memegang hak mutlak untuk mengutip tol seperti dalam perjanjian konsesi yang masih berkuat kuasa.  

"Atas dasar ini, saya dan pasukan kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF ini supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan.

"Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan yang menyeluruh bukan sahaja dari kementerian ini malah pihak konsesi dan juga pengurusan tertinggi Kerajaan Perpaduan," ujarnya.

Pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan akan membelanjakan sebanyak RM3.46 bilion bagi pelaksanaan MLFF iaitu sistem kutipan tol tanpa perlu berhenti, bagi mengelak kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol di negara ini.

Kajian MLFF berkenaan akan dilaksanakan pada 2024 sebelum penggunaan sepenuhnya dijangka dapat dikuatkuasakan setahun selepas itu.