Skip to main content

Malaysia

MMM desak langkah segera tamat ketidaktentuan nasib pekerja Media Mulia

MMM menekankan keperluan mematuhi undang-undang pekerjaan, kontrak, dan prinsip keadilan serta memastikan maklumat jelas diberikan kepada semua pekerja terlibat.
MMM menekankan keperluan mematuhi undang-undang pekerjaan, kontrak, dan prinsip keadilan serta memastikan maklumat jelas diberikan kepada semua pekerja terlibat.

Ringkasan AI

  • Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa Media Mulia Sdn Bhd segera mengambil langkah konkrit bagi melindungi kebajikan pekerja yang terjejas akibat penilaian semula model perniagaan.
  • MMM menekankan keperluan mematuhi undang-undang pekerjaan, kontrak, dan prinsip keadilan serta memastikan maklumat jelas diberikan kepada semua pekerja terlibat.
  • MMM bersedia berbincang dengan pengurusan Media Mulia dan pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian seimbang antara kelangsungan syarikat dan kebajikan pekerja.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Komitmen Media Mulia Sdn Bhd untuk menilai semula model perniagaannya perlu segera disusuli dengan langkah konkrit bagi menamatkan ketidaktentuan berpanjangan terhadap mata pencarian dan nasib warga kerjanya, menurut Majlis Media Malaysia (MMM).   

MMM memaklumkan pihaknya memahami tekanan kewangan dihadapi oleh syarikat berkenaan yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! serta industri media secara keseluruhannya.

“Pada masa sama, semua pekerja terjejas perlu diberikan maklumat bertulis yang jelas mengenai status pekerjaan mereka, tempoh masa terlibat dan pilihan tersedia kepada mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.

Advertisement

Menurut MMM, sebarang langkah diambil hendaklah mematuhi sepenuhnya undang-undang pekerjaan yang berkuat kuasa, kewajipan kontrak serta prinsip keadilan prosedur yang sewajarnya.

MMM turut menggesa pihak pengurusan Media Mulia supaya mengadakan perbincangan dengan pekerja bagi menjelaskan pilihan sedang dipertimbangkan.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan bagi memastikan sebarang keputusan yang memberikan kesan kepada pekerja dibuat berdasarkan penilaian objektif melalui proses yang adil, telus dan didokumentasikan dengan sewajarnya.

“Sekiranya timbul isu berkaitan prestasi individu, pekerja hendaklah dimaklumkan dengan jelas mengenai kelemahan khusus yang dikenal pasti, diberikan peluang munasabah untuk memberikan penjelasan serta dibekalkan bimbingan, sokongan dan masa mencukupi untuk menunjukkan peningkatan sebelum sebarang keputusan yang boleh menjejaskan kedudukan pekerjaan mereka dibuat,” menurut kenyataan itu.

MMM menekankan keputusan sedemikian perlu dibuat secara konsisten, berkadar dengan keadaan serta selaras dengan undang-undang pekerjaan yang berkuat kuasa dan prinsip keadilan asasi.

Sehubungan dengan itu, MMM bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Media Mulia, pekerja dan pihak berkepentingan berkaitan bagi meneroka penyelesaian praktikal yang dapat mengimbangi kelangsungan jangka panjang syarikat dengan kebajikan tenaga kerjanya.

“Kelangsungan organisasi media dan perlindungan pekerja media tidak seharusnya dilihat sebagai dua keutamaan yang saling bertentangan. Kedua-duanya sama penting bagi masa depan kewartawanan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, pihak pengurusan Media Mulia mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berhubung isu penstrukturan organisasi terbabit yang turut dihadiri wakil MMM bagi mencari jalan keluar terbaik untuk membela kebajikan pengamal media.

Menurut MMM, pada pertemuan itu, Fahmi turut menyatakan kesediaan beliau untuk meneroka penyelesaian bagi melindungi mata pencarian pekerja media yang terjejas.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement