Skip to main content

Sukan

400 jahitan hampir ragut nyawa bekas jurulatih Mike Tyson

Teddy Atlas mendedahkan dia memerlukan sebanyak 400 jahitan selepas diselar di bahagian muka dalam satu insiden. - World Boxing News via Stadium Astro
Teddy Atlas mendedahkan dia memerlukan sebanyak 400 jahitan selepas diselar di bahagian muka dalam satu insiden. - World Boxing News via Stadium Astro
Advertisement

PARUT panjang di wajah Teddy Atlas bukan sekadar kesan luka lama, sebaliknya menjadi peringatan kepada insiden ngeri yang hampir meragut nyawanya selepas dia diserang menggunakan pisau dalam satu pergaduhan jalanan di Staten Island, New York.

Bekas jurulatih Mike Tyson itu mendedahkan dia memerlukan sebanyak 400 jahitan selepas diselar di bahagian muka dalam kejadian berkenaan — 200 jahitan di bahagian dalam dan 200 lagi di bahagian luar.

Menerusi temu bual dalam podcast Ring Champs yang dikongsikan semula oleh ATS Fight, Atlas mengimbas detik cemas apabila menyedari salah seorang penyerangnya mengeluarkan pisau.

Advertisement

Menurut Atlas, kejadian bermula apabila rakannya yang memandu kereta melanggar lampu merah sebelum memotong sebuah kenderaan lain.

Pertengkaran kemudian tercetus apabila kedua-dua kenderaan berulang kali memotong antara satu sama lain, sebelum mereka berhenti dan lima lelaki keluar dari kereta berkenaan.

Advertisement

Ketika sedang bergelut dengan salah seorang daripada mereka, Atlas menyedari seorang lagi lelaki memasukkan tangan ke dalam poket sebelum mengeluarkan sesuatu.

“Saya sedang berlawan dengan seseorang, kemudian saya melihat lelaki itu memasukkan tangan ke dalam poket dan mengeluarkan sesuatu. Saya tahu apa benda itu,” katanya.

Atlas berkata, keadaan seolah-olah bergerak perlahan ketika dia perlu membuat keputusan sama ada melarikan diri atau mendekati penyerang berkenaan.

Dia memilih untuk mara ke arah lelaki itu, namun penyerangnya bertindak lebih pantas sebelum menghayunkan pisau ke wajahnya.

“Saya membuat keputusan untuk mendekatinya. Saya bergerak dengan pantas, tetapi dia lebih pantas dan dia menghayunkan pisau,” katanya.

Kecederaan itu hampir mengenai vena jugular, sekali gus menyebabkan Atlas berdepan risiko kehilangan nyawa.

“200 jahitan di bahagian luar, 200 jahitan di bahagian dalam, jadi keseluruhannya 400 jahitan.

“Saya boleh mati kerana pisau itu hanya tersasar sedikit daripada vena jugular,” katanya.

Malah, Atlas masih mengingati perbualan anggota polis di dalam ambulans yang membawa dirinya ke hospital, apabila mereka bimbang nyawanya tidak dapat diselamatkan.

“Saya berada di dalam ambulans bersama polis dan saya ingat mereka berkata, ‘Saya rasa kita mungkin akan kehilangannya’,” katanya.

Namun, Atlas ketika itu tetap yakin dia akan terselamat kerana percaya bapanya, Dr Theodore Atlas, mampu menyelamatkannya.

Sebaik tiba di hospital, dia berulang kali meminta petugas perubatan menghubungi bapanya untuk mendapatkan bantuan.

Walaupun terselamat, serangan itu meninggalkan parut kekal pada wajahnya yang terus menjadi identiti tersendiri dalam dunia tinju.

Atlas pernah membantu melatih Tyson ketika petinju itu masih remaja di gim Catskill di bawah bimbingan Cus D’Amato. Bagaimanapun, hubungan mereka terputus selepas berlaku pertelingkahan berhubung tingkah laku Tyson.

Kedua-duanya hanya kembali berdamai selepas hampir tiga dekad, apabila Tyson memohon maaf kepada bekas jurulatihnya itu pada 2013.

Atlas kemudian membina reputasi sebagai jurulatih bertaraf dunia apabila membimbing Michael Moorer menewaskan Evander Holyfield untuk merangkul gelaran heavyweight pada 1994, sebelum mengembangkan kerjaya sebagai pengulas tinju.

Mengimbas kembali insiden itu, Atlas mengakui serangan berkenaan bukan sahaja memberi kesan besar kepada dirinya, malah turut menjejaskan keluarganya.

“Ia menyebabkan begitu banyak kerosakan kepada diri saya, tetapi saya sedar kesannya sebenarnya lebih besar terhadap keluarga saya,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement