KUALA LUMPUR: Model terkemuka Sharminidevi Parameispran yang menjadi tumpuan utama di Ahmedabad Times Fashion Week 2023 di Gujarat, India, berkata acara itu menjadi platform untuk mempromosi pelancongan fesyen Malaysia.

Sharminidevi yang lebih dikenali sebagai Sharwita, berkata acara tiga hari itu yang bermula pada 27 Sept, melangkaui hubungan fesyen tempatan dan merupakan ruang untuk menjalin hubungan dengan negara Asia.

"Melalui kerjasama dan inisiatif yang dipacu pelancongan, kami boleh memupuk pertukaran silang budaya yang dinamik, memberi manfaat kepada pereka, pelancong dan komuniti tempatan, sambil memajukan pelancongan fesyen Malaysia di persada dunia," katanya kepada Bernama melalui WhatsApp.

Sharwita yang percaya potensi fesyen dapat memacu pelancongan, berkata beliau telah memanjangkan jemputan kepada pereka dan model di Ahmedabad untuk usaha niaga masa depan di Malaysia.

Beliau berkata pereka terkenal India Seema Patel telah menyatakan minat untuk menganjur pertunjukan fesyen di Malaysia, bekerjasama dengan bakat tempatan di bawah "Le Fashion Secret" yang dimilikinya (Sharwita).

"Ini akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk peminat pelancongan fesyen di seluruh dunia," menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sepanjang kerjayanya selama 15 tahun dalam industri fesyen, Sharwita turut bekerjsama dengan Sim's Designer Studio, sebuah label yang diasaskan oleh pereka fesyen dan penggaya selebriti terkenal India, Seema Kalavadia.

-- BERNAMA