Skip to main content

Dunia

Kemboja buka semula kuil berusia hampir 1,000 tahun di Angkor

Kuil West Mebon yang dibina pada pertengahan abad ke-11 sebagai tempat suci agama Hindu menggunakan laterit dan batu pasir sebagai bahan binaan. - Gambar Freepik
Kuil West Mebon yang dibina pada pertengahan abad ke-11 sebagai tempat suci agama Hindu menggunakan laterit dan batu pasir sebagai bahan binaan. - Gambar Freepik
Advertisement

SIEM REAP: Kemboja pada Isnin membuka semula secara rasmi Kuil West Mebon yang berusia hampir 1,000 tahun di Taman Arkeologi Angkor yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, menandakan selesainya projek baik pulih selama 14 tahun, lapor Xinhua.

Kerja-kerja baik pulih bernilai AS$12 juta itu dilaksanakan menerusi usaha bersama Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA (ANA) dan kerajaan Perancis.

Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni berkenan menyempurnakan upacara perasmian berkenaan bersama-sama Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang sedang mengadakan lawatan ke negara itu.

Advertisement

Raja Sihamoni bertitah, kuil yang terletak di sebuah pulau di tengah-tengah West Baray, iaitu takungan air terbesar di kawasan Angkor, dikelilingi kawasan perairan yang luas, sekali gus mewujudkan landskap yang unik dan menawan.

"Tidak syak lagi, kompleks bersejarah ini akan menjadi penanda aras utama bagi kerjasama arkeologi dan warisan antara Perancis dengan Kemboja mulai sekarang,” titah baginda pada majlis itu.

Advertisement

Macron berkata, Perancis berbangga kerana dapat membantu menghidupkan semula kuil purba itu.

Menteri Pelancongan Kemboja, Huot Hak berkata, kuil yang baru dibuka semula itu akan menawarkan tarikan baharu kepada pengunjung selepas kerja-kerja pemuliharaan selama bertahun-tahun.

Kuil West Mebon yang dibina pada pertengahan abad ke-11 sebagai tempat suci agama Hindu menggunakan laterit dan batu pasir sebagai bahan binaan.

Menurut Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA, pengunjung boleh menaiki bot untuk ke monumen di tengah-tengah takungan air itu yang menawarkan suasana tenang, khususnya ketika matahari terbenam.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement