Skip to main content

Dunia

Presiden Korea Selatan cadang inisiatif bersama ASEAN bagi pastikan manfaat AI dinikmati semua

Lee mengemukakan cadangan itu ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan di Manila, yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini. - Gambar Reuters
Lee mengemukakan cadangan itu ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan di Manila, yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini. - Gambar Reuters
Advertisement

MANILA: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung menegaskan keperluan memperkukuh perpaduan dengan ASEAN pada Isnin, sambil mencadangkan kerjasama lebih erat termasuk inisiatif bagi memastikan manfaat kecerdasan buatan (AI) dapat dinikmati oleh semua pihak, lapor Agensi Berita Yonhap.

Lee mengemukakan cadangan itu ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan di Manila, yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.

"Dalam keadaan konflik geopolitik yang semakin meruncing dan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat, adalah lebih penting bagi Republik Korea dan ASEAN untuk memperkukuh perpaduan," katanya, merujuk kepada Korea Selatan menggunakan nama rasminya.

Advertisement

Mengulas rundingan berterusan antara kedua-dua pihak bagi menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea, Lee berkata: "Dengan bertindak secara proaktif terhadap perubahan persekitaran perdagangan global, kita akan berusaha mencapai nilai perdagangan dua hala tahunan sebanyak US$300 bilion."

Presiden Korea Selatan itu turut mencadangkan Inisiatif Persahabatan AI ASEAN-Republik Korea serta Inisiatif Industri Kebudayaan dan Kreatif ASEAN-Republik Korea, sambil berikrar memastikan semua pihak dapat menikmati manfaat daripada kemajuan AI.

Advertisement

Menerusi inisiatif kebudayaan itu, Korea Selatan akan berusaha mewujudkan peluang baharu dengan memanfaatkan potensi kreatif golongan muda di negara ASEAN, kata Lee.

Beliau menyifatkan ASEAN sebagai "rakan kongsi utama" dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan berkekalan di Semenanjung Korea, sambil berkata peranan ASEAN sebagai tonggak utama kerjasama serantau semakin penting berikutan ketidaktentuan landskap antarabangsa yang kian meningkat.

Lee turut menyatakan sokongan terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2045, iaitu pelan hala tuju jangka panjang yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Malaysia, yang menggariskan aspirasi untuk membentuk ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berteraskan rakyat.

Beliau berikrar bahawa Korea Selatan akan menjadi rakan kongsi "pelaksanaan" yang boleh dipercayai dalam membantu merealisasikan wawasan itu.

--BERNAMA-YONHAP

Must Watch Video

Advertisement