Skip to main content

Malaysia

JKR Sarawak nilai prestasi kontraktor dua projek lewat - Teo

Teo berkata, JKR Sarawak akan memanggil kontraktor berkenaan untuk menilai kemajuan kerja sebelum menentukan sama ada kontraktor itu boleh meneruskan kedua-dua projek atau tindakan lain perlu diambil. - Gambar fail/Bernama
Teo berkata, JKR Sarawak akan memanggil kontraktor berkenaan untuk menilai kemajuan kerja sebelum menentukan sama ada kontraktor itu boleh meneruskan kedua-dua projek atau tindakan lain perlu diambil. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SIBU: Kementerian Komunikasi tidak menolak kemungkinan kontrak bagi dua projek di Sarawak ditamatkan selepas kedua-duanya, yang dilaksanakan oleh kontraktor yang sama, lewat antara dua hingga empat bulan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek pembinaan kuarters kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Sri Aman lewat dua bulan manakala projek bangunan tambahan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak lewat empat bulan.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memanggil kontraktor berkenaan untuk menilai kemajuan kerja sebelum menentukan sama ada kontraktor itu boleh meneruskan kedua-dua projek atau tindakan lain perlu diambil.

Advertisement

“Kami akan menunggu nasihat daripada JKR Sarawak, apa pendapat profesional mereka dan kemudian kami akan memutuskannya,” katanya selepas lawatan kerja ke Jabatan Penyiaran Sibu, pada Isnin.

Teo berkata, projek kuarters RTM Sri Aman yang dibina dengan kos kontrak lebih RM9.98 juta dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan manakala projek bangunan tambahan JAPEN yang dibina dengan kos kontrak lebih RM19.77 juta mempunyai tempoh kontrak 24 bulan. 

Advertisement

Kedua-dua projek itu akan dipantau rapi dengan kerjasama JKR Sarawak.

Beliau ketika mengulas mengenai projek pembinaan 16 unit kuarters kakitangan RTM Sibu bernilai RM8.86 juta berkata kemajuannya memuaskan dan JKR Sarawak menjangkakan ia dapat disiapkan menjelang tarikh siap baharu pada 17 Sept 2027.

“Tarikh siap itu disemak semula selepas lanjutan masa 45 hari diberikan kepada kontraktor berikutan keadaan tanah di tapak pembinaan.

“Projek berkenaan turut meliputi 22 petak parkir dan sebuah taman permainan,” katanya.

Teo berkata, projek bangunan RTM di Bintulu berjalan mengikut jadual manakala projek di Limbang lewat sembilan hari dan masih di peringkat awal pelaksanaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement