KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Menurut MoF dalam satu kenyataan hari ini, langkah tersebut sebahagian daripada usaha untuk memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Selain itu, MoF turut meningkatkan peruntukan bagi perolehan vaksin dan PICK daripada RM3 bilion, iaitu komitmen yang diumumkan pada hujung tahun 2020, kepada RM5.8 bilion seperti yang diumumkan melalui Pakej PEMULIH pada bulan Jun 2021.

KKM dan MOSTI juga diberi kelonggaran untuk menguruskan perbelanjaan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan MoF.

Ketiga-tiga langkah itu dijelaskan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan vaksin COVID-19 hari ini.

“Menteri Kewangan telah menjelaskan peranan MOF dalam menyediakan tatacara perolehan dan peruntukan bagi memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai objektif imunisasi lengkap bagi penduduk Malaysia menjelang bulan Oktober 2021.

“MoF juga memberi komitmen untuk terus memainkan peranannya menjayakan usaha PICK
demi mencapai vaksinasi penuh penduduk dewasa dan selanjutnya membolehkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berfasa selaras dengan Pelan Pemulihan Negara," kata kenyataan itu lagi.

Pada 26 April lalu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) berjumlah RM5 bilion bertujuan untuk mendapatkan perolehan vaksin COVID-19 serta perbelanjaan bagi pelaksanaan PICK.

Katanya, jumlah berkenaan merangkumi peruntukan RM3 bilion bagi proses perolehan vaksin manakala dana tambahan sebanyak RM2 bilion adalah bagi tujuan perbelanjaan pelaksanaan PICK di seluruh negara.

Namun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa, Bank Negara perlu mendedahkan berapa jumlah dana yang digunakan daripada KWAN untuk tujuan memperoleh vaksin.

“Sehingga hari ini, kerajaan belum mendedahkan berapa jumlah dana daripada jumlah RM5 bilion diperuntukkan daripada KWAN yang telah digunakan untuk pembelian vaksin.

“Nampak seperti jumlah penuh RM5 bilion masih belum dikeluarkan daripada KWAN,” ujar Guan Eng.

Tegasnya juga, sekiranya enam Ordinan Darurat dibatalkan, kerajaan tidak dapat menggunakan wang daripada dana KWAN untuk pembelian vaksin pada masa akan datang.

“PN telah bergantung pada Ordinan Darurat untuk meminda Akta KWAN tanpa kelulusan Parlimen bagi membolehkan kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk pembelian vaksin.

“Pembatalan Ordinan Darurat mungkin mengakibatkan kerajaan perlu mencari sumber dana lain bagi menampung sebarang kekurangan daripada jumlah RM5 bilion tersebut.”

Pada Isnin, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.