KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menyalurkan peruntukan berjumlah RM11 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menambahbaik persiapan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024.

Memberitahu Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata peruntukan tersebut melibatkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Selain itu, beliau memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM741,780 kepada JKM termasuk bagi tujuan peruntukan pengurusan pengoperasian bencana.

"NADMA juga memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi pelaksanaan projek-projek kecil baik pulih dan naik taraf untuk dilaksanakan di PPS secara berperingkat khususnya memperbaiki prasarana seperti kemudahan tandas," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang bertanyakan Perdana Menteri berhubung langkah diambil kerajaan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir di PPS.

Jelas beliau, JKM menyediakan 8,481 PPS melibatkan sekolah (5,063), balairaya dan dewan (2,457), masjid dan surau (572), dan pusat komuniti (389) yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara.

Katanya lagi, dalam memastikan penyediaan makanan dan keperluan lain, JKM turut melantik 868 pembekal barang keperluan asas melibatkan 218 pembekal berskala besar dan 650 pembekal berskala kecil.

Armizan menambah, setakat ini, sejumlah RM2 juta peruntukan telah disalurkan kepada JKM bagi penyediaan makanan retort.

Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan secara kumulatif sejak MTL 2023/2024 bermula pada 11 Nov lalu, seramai 7,684 mangsa daripada 1,976 keluarga telah ditempatkan di 49 PPS meliputi 12 daerah di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Selangor serta Terengganu.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah mengenai apakah usaha untuk meningkatkan keupayaan dan daya tahan negara pula, Armizan berkata kerajaan dalam proses menggubal Dasar Pengurusan Risiko Bencana dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu akta khusus dalam usaha meningkatkan kesiapsagaan menghadapi bencana seperti banjir pada masa depan.

Selain itu, pihaknya juga melakukan semakan kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 19 dan MKN 20, kata beliau.

Berhubung Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Armizan berkata, proses perolehan projek rintis itu melibatkan sembilan negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam suku pertama tahun depan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan segera.

Ujarnya lagi, NADMA memperuntukan RM45 juta, di mana projek rintis itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).