KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang merangka semula dasar dan skop penggunaan Wang Ihsan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia bertujuan supaya penggunaan dana tersebut selaras dengan agenda nasional bagi mengurangkan tahap kemiskinan untuk kedua-dua negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.

"Walau bagaimanapun, hasil petroleum akan dibayar terus kepada negeri sekiranya didapati dan diperoleh minyak dalam perairan wilayah tiga batu nautika yang diukur daripada garis air surut selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750)," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata ketika ini, penyaluran Wang Ihsan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu merupakan budi bicara Kerajaan Persekutuan memandangkan tiada petroleum yang diperoleh berdasarkan peruntukan Akta 750 tersebut.

Ahmad Maslan turut memaklumkan Wang Ihsan yang dibayar kepada Kelantan adalah sebanyak RM344.60 juta manakala RM1.69 bilion untuk Terengganu bagi 2022.

-- BERNAMA