MoF teliti perkenal struktur baharu akaun KWSP bagi ahli capai umur persaraan minimum

Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) sedang meneliti cadangan untuk memperkenalkan struktur akaun baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai usaha memastikan simpanan ahli kekal mencukupi serta mampu menampung keperluan selepas bersara.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang mengkaji cadangan struktur baharu akaun KWSP yang akan diwujudkan apabila pencarum mencapai umur persaraan minimum, melibatkan dua komponen: simpanan fleksibel (boleh dikeluarkan bila-bila masa) dan simpanan pendapatan (diagih secara berkala).
- Cadangan ini hanya terpakai kepada ahli baharu selepas pelaksanaan, namun ahli sedia ada boleh memilih untuk menyertai kemudian; keputusan muktamad akan dibuat selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
- Tiada perubahan pada polisi pengeluaran KWSP semasa, ahli masih boleh mengeluarkan simpanan pada umur 55 dan 60 tahun; KWSP kini mempunyai 16.5 juta ahli dengan jumlah simpanan RM1.31 trilion.
“Namun pada masa akan datang, jika sudah dilaksana, ahli sedia ada yang mahu menyertai skim itu pun boleh. Secara asasnya, mekanisme akaun ini terbahagi kepada dua komponen, simpanan fleksibel iaitu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut kehendak ahli dan simpanan pendapatan diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis,” katanya.
Maklum balas itu bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang bertanya mengenai mekanisme pelaksanaan skim pengeluaran bulanan berstruktur KWSP.
Menurut Hui Ying, cadangan itu dalam penelitian dan keputusan hanya diputuskan selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan selain pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang pencarum.
Pada masa ini, Hui Ying berkata, tiada perubahan polisi kepada skim pengeluaran KWSP semasa kepada ahli-ahli sedia ada yang sudah bersara.
Beliau juga memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan ahli KWSP adalah seramai 16.5 juta orang setakat 31 Ogos 2025, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.31 trilion (meningkat 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada tahun 2024; dan 20.8 peratus berbanding RM1.01 trillion pada tahun 2023).
Daripada jumlah tersebut, seramai 9.0 juta atau 55 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP adalah merupakan ahli aktif, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.07 trilion.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami