KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan kerja ke Indonesia bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan ADMM-Plus ke-10, di Jakarta yang bermula pada 15 hingga 16 November.

Mesyuarat itu, yang berlangsung selama dua hari dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, selaku Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus bagi tahun 2023.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran Mohamad bersama delegasi Malaysia ke ADMM ke-17 dan ADMM-Plus ke-10, amat penting bagi memperlihatkan kepimpinan Malaysia dan kesatuan ASEAN dalam membincangkan isu-isu pertahanan, keselamatan peringkat serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

"Mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus juga merupakan satu langkah membina keyakinan dalam mendepani situasi semasa, serta meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam mendepani isu-isu pertahanan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara.

"ADMM dan ADMM-Plus ini merupakan platform utama untuk negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN dalam meningkatkan kebolehoperasian dan kebersamaan antara angkatan tentera negara masing-masing dalam bidang-bidang yang dikenal pasti," kata Mindef pada Khamis.

Mindef menambah, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus menandakan komitmen berterusan negara kepada ASEAN, yang mana Malaysia merupakan salah sebuah negara pengasas kepada organisasi yang telah ditubuhkan pada 1967.

Selain mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus, Mohamad telah menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi ASEAN-US dan ASEAN-Japan.

Dalam masa sama, Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada Indonesia, selaku Pengerusi ASEAN 2023 atas kejayaan penganjuran Mesyuarat ADMM ke-17 dan ADMM- Plus ke-10.

Mindef berkata, kementerian telah mula membuat persiapan bagi mesyuarat yang sama, di mana bakal dipengerusikan oleh Malaysia pada 2025.

Terdapat lapan Rakan Dialog ASEAN iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, serta Rusia.

Dalam hal ini, Malaysia dan Pengerusi Bersama Korea Selatan baru sahaja menamatkan kepengerusian bersama bagi ADMM-Plus Experts’ Working Group on Cyber Security (ADMM-Plus EWG on CS) bagi kitaran 2021-2023.

Malaysia seterusnya akan mempengerusikan bersama dengan India bagi ADMM-Plus EWG on Counter Terrorism (CT) bagi kitaran 2024-2027.