Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuat kuasa 17 Mei ini.

Pelantikan tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Dalam kenyataan tersebut, Othman memaklumkan tempoh kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Jakim akan tamat pada 16 Mei 2018.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah bersetuju dan meluluskan pelantikan Mohamad Nordin, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jakim.

Jelasnya, Majlis Penyampaian Surat Pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah telah diadakan pada 7 Mei lalu di Jabatan Perdana Menteri.

"Dengan kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia, ditambah dengan integriti tinggi yang dimiliki, saya yakin dan percaya beliau mampu meneruskan visi dan misi Jakim untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat di negara ini," katanya.

Othman turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberi.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Pengarah Jakim selama lebih tujuh tahun,

"Saya berdoa agar Kerajaan Malaysia, khususnya perkhidmatan awam, terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya dalam kenyataan itu.

Mohamad Nordin, 58 tahun, mendapat pendidikan awal dari Kolej Islam Klang, Selangor dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (B.A) Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982.

Beliau juga memiliki ijazah Sarjana Pengajian Islam (M.A) Tamadun Islam dari UKM pada 2000.

Beliau pernah mengikuti Leadership Programme di Oxford University, United Kingdom pada 2013.

Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun sejak mula menjadi Pegawai Hal Ehwal Islam pada 31 Januari, 1984.

Mohamad Nordin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam melalui kariernya di pelbagai tempat dan bahagian sepanjang tempoh perkhidmatan.