KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa pada Isnin.

Mohd Shuhaily yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Pulau Pinang menggantikan pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Noor.

Abu Samah yang juga Ketua Jabatan Cawangan Khas Kuala Lumpur akan bertukar ke Timbalan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa 22 Mei ini.

Majlis serah terima tugas itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.


Ayob Khan berkata, pihaknya akan memastikan JSJ memberi sokongan padu kepada Mohd Shuhaily dan pegawai IPK Kuala Lumpur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Ia bagi memastikan ibu kota sentiasa selamat untuk semua lapisan masyarakat, sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai lokasi yang selamat didiami dan dikunjungi," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau amat yakin dengan pengalaman, kredibiliti, kepimpinan, ketegasan dan paling penting aspek integriti yang dimiliki Mohd Suhaily.

"IPK Kuala Lumpur akan dapat mencapai kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan seiring dengan hasrat pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya akan melaksanakan amanat dan tanggungjawab yang diberi oleh PDRM dengan sebaiknya.

"Moto saya adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur hebat, selamat untuk didiami dan dikunjungi.... Itu adalah tanggungjawab saya,” katanya. -Sinar Harian